Harap ‘bakal PM’ tangguh hasrat tukar kerajaan – Asyraf

0
2
KUALA LUMPUR 09 JULAI 2018. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Muhammad Mustakim Ramli

HARAP bakal Perdana Menteri tangguh hasrat tukar kerajaan, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki.

Saranan beliau itu ditujukan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba membentuk kerajaan baharu selepas mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Ia susulan penularan pandemik Covid-19 yang meningkat sehingga 260 kes, semalam.

“Diharapkan bakal PM (Perdana Menteri) dan PH (Pakatan Harapan) dapat tangguhkan dahulu hasrat untuk menggerakkan agenda menukar kerajaan dan PM yang boleh membawa kepada pembubaran Parlimen dan PRU-15.

“Utamakan dahulu keselamatan rakyat yang sedang berhadapan risiko gelombang ke-3 Pandemik Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf berkata, Anwar perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Sabah hingga menyebabkan berlaku peningkatan kes berkenaan.

“Ambil iktibar daripada apa yang berlaku di Sabah. Akibat perebutan jawatan KM (Ketua Menteri) akhirnya membawa kepada pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri) dan PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah.

Beliau kemudian bertanya kepada warga maya khususnya pengikut Facebooknya sama ada bersetuju atau tidak dengan pandangan berkenaan.

Sementara itu berdasarkan komen warga maya terdapat pelbagai reaksi dengan pandangan Ketua Pemuda Umno berkenaan.

“Sangat pelik bila golongan yang saling berebut kuasa saling menasihat sesama mereka utama rakyat di musim Covid 19,” kata Mohamad Farhan Ahmad.

“Kami setuju sangat Datuk tolong lah jangan pentingkan diri. Kami rakyat marhaen amat terkesan dgn apa yang sedang berlaku akibat perebutan kuasa ahli politik,” kata Zahriah Zmnz.

“Reti pulak berfikir sekarang sebelum ni OK jadi katak sampai runtuh kerajaan Sabah..ni semua utk survival politik korang je rakyat yg bakal hilang kerja ade fikir?,” kata Abdul Hadi Azmi. -Malaysiapost