Rakyat tidak suka kita sekarang – Shahril

0
2

RAKYAT tidak suka kita sekarang, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan rakyat meletakkan kesalahan terhadap ahli politik ketika ini yang menyebabkan jangkitan Covid-19 bertambah.

“Sekarang rakyat tidak melihat kita (ahli politik) sebagai ejen atau entiti yang membantu dalam situasi (penularan Covid-19) ketika ini.

“Malah, dalam kalangan sentimen rakyat, mereka menganggap ahli-ahli politik adalah penyebab kepada jangkitan bertambah.

“Untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang punca jangkitan meningkat ketika ini adalah terlalu rumit dan hakikatnya kita perlu sedar bahawa ahli politik sedang dilihat oleh rakyat,” katanya dalam Agenda Awani.

Shahril menyeru supaya ahli politik untuk meletakkan kepentingan kesihatan rakyat negara ini sebagai perkara utama berbanding kepentingan politik terutamanya pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Beliau juga secara peribadi berpendapat tidak perlu mengadakan PRU dalam masa terdekat terutama ketika negara masih memerangi Covid-19 kerana ia bakal memberi kesan jangka panjang kepada rakyat.

Semalam, sebanyak 260 kes baharu Covid-19 dicatatkan sekali gus menjadi kes harian kedua tertinggi pernah direkodkan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dipetik berkata, ia meliputi 259 penularan tempatan dan satu kes import.

Beliau berkata, daripada jumlah penularan tempatan itu, 31 kes dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah. -Malaysiapost