Covid-19: Tak adil salah PN dan BN

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

TIDAK adil salahkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan ketika jumlah kes Covid-19 meningkat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata seluruh rakyat Malaysia termasuk beliau sudah risau dengan kemungkinan gelombang kedua Covid-19 sudah bermula.

Namun, katanya penyokong Pakatan Harapan (PH) sudah mula buat kerja untuk menyalahkan PN dan BN dalam situasi Covid-19 ketika ini.

“Ya, memang benar bahawa orang politik merumitkan keadaan dan sudah tentu kehadiran kita dari semenanjung di Sabah telah menaikkan risiko Covid ditular.

“Tetapi saya rasa ianya tidak adil untuk salahkan PN/BN sahaja sebab kita memang tidak mahu PRN Sabah diadakan,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, PRN berlaku di sana selepas beberapa Adun PH hilang kepercayaan pada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan melompat ke golongan yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman.

“Namun dengan majoriti jelas, TYT Sabah enggan menerima Musa Aman sampai ke tahap Musa dihalang masuk ke Istana Sabah.

“Ini jauh berbeza dengan masa TYT (Yang di-Pertua Negeri Sabah) menerima Shafie mengadap setelah UPKO melompat dan menjatuhkan Musa serta kerajaan BN Sabah selepas PRU14,” katanya.

Beliau berkata, ia juga berbeza dengan pendekatan TYT Melaka yang enggan mengikut nasihat Ketua Menteri Melaka untuk bubarkan DUN Melaka semasa kerajaan PH Melaka jatuh pada awal bulan Mac.

“Sebaliknya TYT Sabah mengikut nasihat Shafie untuk membubarkan DUN supaya PRN boleh dilaksanakan.

“Pada masa Shafie minta DUN dibubar, Musa juga tidak bersetuju dan kita telah tiga kali tuntut mahkamah untuk tangguhkan PRN.

“Malangnya Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan tolak permintaan ini walaupun memutuskan bahawa Musa Aman dijatuhkan tidak mengikut perlembagaan pada tahun 2018 dengan alasan wabak Covid di Sabah masih terkawal,” katanya.

Najib mendakwa Mohd Shafie tidak kisah dengan situasi semasa pandemik.

“Sebaliknya, Shafie suruh orang yang positif Covid dibenarkan mengundi manakala pemimpin Warisan Ketapi menuduh bahawa kenaikan kes Covid di Sabah cuma satu wayang.

“Masa itu juga, pemimpin-pemimpin PH lain memuji “keberanian” Shafie untuk membubarkan DUN supaya PRN boleh berlangsung.

“Akhirnya Shafie sendiri memohon maaf atas langkah dia membubar DUN dan melaksanakan PRN dengan alasan “warga Sabah berhak ada sebuah kerajaan yang bermaruah”,” katanya.

Beliau berkata oleh kerana itu jangan hanya menyalahkan PN atau BN sahaja.

“Kita tidak ada pilihan lain selain membantu berkempen di sana walaupun dinasihat oleh ahli keluarga untuk tidak lawat ke Sabah masa itu.

“Namun saya tetap menaruh harapan kepada kebolehan Kementerian Kesihatan Malaysa dan kerajaan PN untuk mengawal Covid.

“Saya juga percaya bahawa situasi Covid pada masa ini juga jauh berbeza dengan keadaan pada bulan Mac lalu semasa PKP fasa 1 bermula,” katanya. -Malaysiapost