Polis Johor siasat Hizbut Tahrir Malaysia

0
2
Warga melintas di depan Kantor DPD II Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) Kabupaten Ciamis, Jawa Barat, Selasa (9/5). Aktivitas di kantor HTI tersebut masih berjalan normal pascakeputusan pemerintah untuk membubarkan ormas tersebut. ANTARA FOTO/Adeng Bustomi/aww/17.

POLIS Johor menjalankan siasatan terhadap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) selepas menerima 17 laporan berhubung fahaman yang difatwakan bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Siasatan terperinci dilakukan susulan doktrin fahaman kumpulan itu, termasuk menolak demokrasi, selain melabel kerajaan sebagai kafir dan wajib diguling dengan kekerasan.

Justeru, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya membuka kertas siasatan terhadap pergerakan itu.

Beliau berkata, setakat ini belum ada tindakan atau elemen kekerasan yang dilakukan HTM.

“Namun, jika ada sebarang tindakan kekerasan dilakukan HTM, polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan ahlinya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat terhadap pemimpin atau ahli HTM di negeri ini kerana ia masih berada di bawah bidang kuasa jabatan agama negeri.

“Polis sentiasa memantau pergerakan kumpulan ini dan jika melangkaui garisan keselamatan, polis akan ambil tindakan tegas mengikut SOSMA dengan serta-merta,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan pendukung fahaman Hizbut Tahrir berikutan ia sudah difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak 10 Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis Johor menyiasat HTM mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, kumpulan HTM dikesan aktif merekrut ahli baharu termasuk daripada golongan berpendidikan seperti pelajar universiti, ahli akademik kanan serta profesional.

“Lebih 80 ahli HTM dikesan bergerak aktif sejak 2005 dan menjadikan markas mereka di Skudai, di sini sebagai pusat penyebaran fahaman berkenaan.

“Sehingga kini, lima negeri, iaitu Johor, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah sudah memfatwakan HTM sebagai bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia turut diharamkan di Turki, Arab Saudi, Pakistan, Indonesia, Syria dan Jordan,” katanya. – Malaysiapost