PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay nafi mengeluaran kenyataan mendakwa ramai pegawai tinggi JSJN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam sindiket pengedaran dadah seperti disiarkan di aplikasi Telegram.
Menurutnya, laporan yang disiarkan oleh Telegram ‘Edisi Siasat’ itu hari ini adalah rekaan semata-mata yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti pucuk pimpinan tertinggi PDRM dan imej PDRM secara keseluruhannya.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh sqya kepada Telegram Edisi Siasat.
“Ianya cuba memberi gambaran bahawa rasuah berleluasa dalam PDRM. Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa pegawai tertinggi JSJN dan pegawai PDRM yang lain bersekongkol dengan sindiket dadah,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya terdapat bukti kukuh mana-mana pegawai atau anggota PDRM yang bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas.
“Semua kejayaan yang dicapai oleh PDRM adalah hasil kerjasama mantap semua jabatan dalam PDRM bersama jabatan-jabatan dan agensi luar. Ianya bukan kejayaan individu.
“Masyarakat diingatkan supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.
“Tindakan berkongsi atau menyebarkan kenyataan-kenyataan sedemikian akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

