DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kepimpinan DAP yang bukan beragama Islam untuk berhenti menyerang pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mufti dan kerajaan negeri Kelantan berhubung isu festival Bon Odori.
Ketua Pemuda DPIM, Shahir Adnan berkata kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banting, Lau Weng San yang mempersoalkan penganjuran festival itu di Kelantan pada 2018, manakala kini umat Islam dinasihatkan untuk tidak hadir penganjurannya di Selangor pada bulan depan, adalah seolah-olah menghina Jakim, institusi Mufti dan agama Islam.
Menurutnya, kenyataan semborono Weng San, umpama lebih arif hukum Islam berbanding pihak Jakim dan pejabat Mufti.
“DPIM turut menggesa pimpinan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang beragama Islam dan beberapa individu di dalam Sisters of Islam yang lantang mengecam Jakim dan menggunakan perbandingan terhadap kerajaan Pas pada 2018 agar bermuhasabah diri sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Kajian dibuat pada tahun ini melarang umat Islam merayakan Bon Odori turut diambil tindakan oleh kerajaan negeri Kelantan kerana pada tahun 2022, mereka mengeluarkan unsur syirik Bon Odori di dalam perayaan budaya masyarakat Jepun yang berlangsung di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua pihak juga perlu peka dan prihatin akan perbezaan perayaan agama dan perayaan budaya.
“Sebagai contoh, umat Islam di negara kita tidak akan mengajak penganut agama lain untuk menyertai khutbah Hari Raya Aidilfitri dan solat bersama-sama kerana menghormati agama masing-masing.
“Namun, dari segi budaya, acara rumah terbuka dan makan-makan diraikan bersama-sama tanpa mengira agama untuk mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia.
“Analogi sama boleh dibuat untuk perayaan Jepun. Mengapa DAP dan MUDA mahu mempolitikkan isu sebegini?” soalnya.
Menurutnya, umat Islam di Malaysia disarankan untuk mendengar nasihat daripada pihak berwajib yang bertanggungjawab atas isu-isu agama Islam.
“Seharusnya, nasihat YB Menteri Agama (Islam), Mufti-Mufti seperti di Pulau Pinang dan Perlis, dan Jakim perlu diambil berat.
“Atau adakah kita mahu mendengar nasihat agama daripada mereka yang tidak punya tauliah dan dangkal ilmu agama islam daripada pimpinan DAP yang tidak beragama Islam atau ahli-ahli politik MUDA yang seangkatan dengannya? Siapa yang keliru sekarang?” katanya.
Shahir berkata, Jakim selaku sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal islam di peringkat persekutuan, telah membuat kajian berkenaan Bon Odori.
“Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, kajian yang dilakukan Jakim mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan.
“Apa yang dinasihatkan adalah kepada orang Islam di negara kita untuk tidak melibatkan diri dalam apa-apa perayaan golongan bukan Islam apatah lagi mengikuti ritual-ritual mereka yang bercanggah dengan prinsip Islam serta mengagungkan syiar agama mereka agar tidak membawa fitnah kepada agama Islam,” katanya. – Malaysiapost

