KERAJAAN digesa menghentikan segera monopoli kartel dalam rantaian industri penternakan ayam demi manfaaat rakyat.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata isu harga ayam mesti ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira rantaian pengeluaran daripada aspek dedak, anak ayam sehinggalah isu buruh dan pemprosesan ayam untuk dijual.
“Kerajaan perlu melakukan intervensi segera untuk memecahkan monopoli di kalangan kartel atau syarikat-syarikat besar tertentu yang menguasai pengimportan dedak, penternakan anak ayam, pengedaran ayam dan lain-lain.
“Akibat monopoli ini, harga anak ayam ditentukan oleh beberapa syarikat besar yang memanipulasi dan mengeksploitasi bekalan ayam di pasaran,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan kumpulan pengusaha industri penternakan ayam di kalangan anak muda yang terlibat dalam industri penternakan ayam.
Pertemuan itu, bagi mendengar pelbagai rintihan dan realiti yang berlaku di lapangan berkaitan isu harga ayam.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, kebergantungan kepada import dedak atau makanan ayam seperti jagung dan kacang soya juga mesti dikurangkan dengan mengambil kira inovasi baharu.
Beliau berkata, ia termasuk meluaskan alternatif makanan ayam daripada bahan lain berasaskan isirong sawit (Palm Kernel Extract), ubi kayu dan lain-lain.
Katanya, karenah birokrasi dalam pelbagai agensi kerajaan juga perlu ditangani segera.
“Contohnya, inovasi baharu anak muda dalam aspek makanan ayam seperti ubi kayu, walaupun sudah dibuktikan berhasil. Namun karenah birokrasi seperti MARDI dan Jabatan Vaterinar telah merencatkan usaha ini.
“Karenah birokrasi di peringkat agensi kerajaan seperti Jabatan Veterinar jugalah menyebabkan RM729 juta subsidi yang disediakan kerajaan tidak sampai atau tidak dapat disalurkan secara berkesan.
“Sehinggakan Kerajaan mendapat gambaran tidak tepat seolah-olah penternak tidak tuntut subsidi tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan perlu mewujudkan segera Lembaga Unggas/Ayam yang bukan sahaja mengawasi harga dan menetapkan piawai bahkan mengawal harga dengan lebih berkesan.
“Perkara itu penting bagi memastikan ia tidak lagi dimonopoli oleh hanya syarikat-syarikat besar tertentu.
“Jika pengawasan dan pengawalan harga dapat dilakukan Lembaga pada setiap rantaian pengeluaran termasuk mengiktiraf dedak-dedak alternatif yang jauh lebih murah, sudah tentu harga akhir di pasaran akan lebih jadi murah,” katanya.
Asyraf berkata, penetapan harga siling RM8.90/kilo yang tidak mengambil kira kenaikan kos dan input utama penternakan ayam akan mematikan banyak usahawan kecil penternakan dan peniaga kecil dan sederhana dalam industri ayam.
“Pemuda Umno mendengar keluh-kesah pemain industri dan akan bersama meneliti segala permasalahan isu harga ayam yang kini semakin menjadi beban kepada pengguna, khususnya,” katanya. – Malaysiapost

