Larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti hanya di jalan raya

0
1

KERAJAAN tidak pernah melarang atau mengharamkan penggunaan kenderaan mikromobiliti di Malaysia jika ia digunakan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sebaliknya larangan hanya terpakai di jalan raya demi memelihara keselamatan orang ramai.

“Malah keputusan ini juga diambil setelah mengambil kira pandangan dan libat urus pelbagai pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya amat mementingkan keselamatan jalan raya dan mahukan jalan raya kita selamat untuk semua pengguna.

“Tambahan pula negara kita mencatatkan kemalangan jalan raya yang tinggi khususnya apabila 64-67% daripada statistik kemalangan jalan raya di Malaysia membabitkan pengguna motosikal,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, beliau mengadakan sesi dialog bersama persatuan dan pengusaha kenderaan mikromobiliti di Kementerian Pengangkutan (MOT), Putrajaya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) akan memperincikan garis panduan berhubung larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti (tertentu) tidak lama lagi.

“Saya mendengar dan terbuka dengan segala pandangan yang dibangkitkan berhubung larangan kenderaan mikromobiliti (tertentu) yang telah diumumkan pada 26 April lalu.

“Terdapat beberapa cadangan dan pandangan yang diutarakan amat baik dan akan dipertimbangkan untuk tindakan susulan.

“Antaranya, melibatkan persatuan dan pengusaha kenderaan mikromobiliti dalam jawatankuasa bersama MOT, selain bersama-sama meneruskan kempen kesedaran keselamatan kepada orang ramai khususnya pengguna kenderaan mikromobiliti,” katanya.

Beliau juga berharap jalinan kerjasama dengan persatuan pengguna dan pengusaha kenderaan mikromobiliti termasuk bersama PLAN Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat diteruskan.

“Demi mencapai matlamat yang sama iaitu mementingkan keselamatan orang ramai khususnya apabila ianya melibatkan pengguna jalan raya,” katanya.

Pada 26 April lalu, MOT menetapkan larangan penggunaan kenderaan jenis mikromobiliti membabitkan tiga kategori di atas jalan raya berkuat kuasa serta-merta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here