‘Dapur’ hisap dadah dijumpai dalam Myvi langgar 5 kenderaan

0
2

PERALATAN menghisap dadah dijumpai dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang didakwa menjadi punca lima kenderaan lain terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), semalam.

Berdasarkan perkongsian klip video di laman Facebook Inforoadblok, peralatan menghisap dadah itu dijumpai orang ramai di dalam Perodua Myvi berkenaan.

Klip video berdurasi 12 saat itu, memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu kereta Myvi berkenaan, dalam keadaan ‘berkhayal’ dan seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

Sejak semalam, tular di media sosial satu rakaman dashcam kemalangan yang melibatkan enam jenis kenderaan yang dirempuh kereta Perodua Myvi yang hilang kawalan di kilometer 243.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata siasatan awal mendapati kereta berkenaan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 44 tahun.

Menurutnya, kemalangan berkenaan berlaku sekitar jam 10.40 pagi apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah Seremban hilang kawalan secara tiba-tiba.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan Toyota Avanza turut hilang kawalan sehingga berpusing beberapa kali serta terbabas ke lorong kiri lalu melanggar dua lagi kenderaan iaitu Proton Saga dipandu wanita berusia 40 tahun dan Proton Persona yang dipandu lelaki berumur 35 tahun.

“Akibat pelanggaran pertama yang berlaku di antara Perodua Myvi dan Toyota Avanza telah menyebabkan tayar bahagian belakang kiri Toyota Avanza tercabut.

“Tayar berkenaan terpelanting masuk ke laluan arah bertentangan dan terkena pada sebuah lagi kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berumur 32 tahun,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here