Apakah nilai BR1M bagi tahun 2022, 2023 dan 2024 sekiranya perancangan kerajaan BN tidak tergendala? – Najib

0
1

DALAM tempoh enam tahun, nilai bayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) naik empat kali ganda ketika zaman pentadbirannya, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia adalah fakta dan ‘track-rekod’ Barisan Nasional (BN) dan ia benar-benar berlaku.

“Sebelum 2012, tak ada istilah BR1M atau bantuan wang tunai. Namun ianya merupakan antara perancangan utama bagi Pelan Transformasi Negara (NTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) kita semasa saya menjawat sebagai PM dan Menteri Kewangan.

“Matlamatnya ialah untuk menaikkan pendapatan isi rumah golongan B40 dan M40 dan untuk menurunkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin dengan cara kongsikan kekayaan negara serta pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih sama rata dan adil,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, ia dilaksanakan dengan menstrukturkan semula dasar ekonomi negara.

“BR1M pertama kali diperkenalkan pada tahun 2012 dengan kadar RM500. Tiap-tiap tahun kemudian, BR1M dinaikkan nilainya atau jumlah penerima yang layak diperluaskan – sehingga menjadi RM2,000 bagi tahun 2018 sekiranya BN menang.

“Biarpun semakin bertambah, kerajaan BN melakukannya tanpa menaikkan defisit kerajaan, menaikkan kebergantungan kepada hasil minyak mahupun menjarah dana Petronas,” katanya.

Najib berkata, malah, defisit kerajaan menurun bagi sembilan tahun berturut dan dengan itu, nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut menurun setiap tahun.

Menurutnya, kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak juga turun setiap tahun. Rizab bersih Petronas pula naik dari RM30 bilion ke RM176 bilion pada Mei 2018 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Dalam tempoh masa 6 tahun, nilai bayaran BR1M naik empat kali ganda dari RM500 pada tahun 2012 ke RM2,000 bagi tahun 2018.

“Dari sifar ke RM500 ke RM1,200 ke RM2,000. Ini fakta dan track-rekod kami. Benar-benar berlaku.

“Jadi, agaknya apakah nilai bayaran BR1M bagi tahun 2022, 2023 dan 2024 sekiranya perancangan NTP dan ETP kerajaan BN dahulu tidak tergendala dan diteruskan?” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here