PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kemelut berkenaan isu kontrak dan gaji minimum RM1,500 adalah sudah dijangka.
Beliau berkata, sepatutnya isu kontrak dan gaji minimum telah mencapai keadaan menang-menang untuk semua pihak berkepentingan sebelum ia dilaksanakan 1 Mei lalu.
“Saya ambil maklum laporan media yang mendakwa pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan sekolah tidak dinaikkan gaji RM1,500.
“Ini sesuatu yang agak mendukacitakan kerana menafikan hak mereka kepada gaji minimum seperti yang diputuskan kerajaan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan telah meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.
Bagaimanapun Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendakwa ramai pembersih kontrak dan pengawal keselamatan di sekolah kerajaan masih belum menerima gaji minimum RM1,500.
Katanya, majikan kumpulan pekerja itu memberikan alasan antaranya kontrak antara mereka dan kerajaan masih lagi berdasarkan gaji minimum lama.
Ahmad Zahid berkata, bidang kawalan keselamatan dan kerja-kerja pembersihan merupakan salah satu elemen keperluan dalam operasi persekolahan.
Katanya, kumpulan pekerja itu menjaga keselamatan para murid dan guru dan mereka memastikan persekitaran yang bersih di sekolah.
“Antara alasan yang diberikan kontrak perjanjian antara syarikat kontraktor dengan kerajaan masih berdasarkan gaji minimum yang lama.
“Menelusuri punca kekalutan itu seharusnya kementerian berkaitan telah pun mempunyai perancangan untuk mendepaninya sebelum pelaksanaan gaji minimum RM1,500,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi amaran bahawa jangan kerana dalam ketaksuban mengutamakan dasar-dasar yang populis, perihal asas yang penting seperti gaji minimum terlepas pandang.
“Kita bimbang implikasi buruknya sekolah berdepan kesukaran mendapat pengawal keselamatan dan petugas kebersihan akibat ramai sudah tidak berminat,” ujarnya.
Tambahnya, kepesatan ekonomi gig dikatakan menyebabkan ramai golongan majikan sedang berdepan kesukaran mendapat pekerja.
Ekonomi gig adalah salah satu pilihan pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas (freelance) yang disokong dengan menggunakan aplikasi teknologi. Perkembangan ekonomi gig selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). – Malaysiapost

