Ali Puteh akui 2 tahun hidup sukar tiada ‘job’, sedia berdamai dengan Hidayah

0
2

“DUA tahun lebih tak ada ‘job’,” luah pelakon dan pelawak, Ali Puteh yang juga adik kepada Allahyarham Abam.

Kemelut dengan balu Allahyarham Abam iaitu Nur Hidayah ternyata memberi kesan besar kepada Ali yang hanya menerima satu tawaran program TV sahaja, dalam tempoh dua tahun sejak 2020.

Jelasnya, tawaran itu diterima pada Ramadan lalu untuk program mengaji Al-Quran di mana dia perlu membaca beberapa surah Al-Quran menerusi panggilan video.

“Itu saja tawaran diterima dalam tempoh itu. Saya dapat token bayaran sebanyak RM300,” katanya memetik Harian Metro.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 33, berkata, sepanjang tempoh itu, dia menggunakan wang simpanannya untuk bertahan meneruskan kehidupan bersama keluarganya.

“Dua tahun lebih tak ada ‘job’. Untuk program Muzikal Lawak Superstar dan Maharaja Lawak Mega di Astro itu lain sebab komuniti pelawak kecil. Tapi, untuk tawaran lain seperti lakonan, pengacaraan dan sebagainya, memang tak ada langsung.

“Dua tahun saya gunakan duit yang saya ada untuk bertahan dan kami berjimat cermat. Saya ada isteri dan anak yang perlu dibesarkan dan setakat ini, masih diberikan kelengkapan yang mencukupi bagi membesarkan mereka,” katanya.

Ali yang pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan turut mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 menerusi pengeluaran khas KWSP yang diluluskan kerajaan, baru-baru ini untuk dijadikan modal perniagaan dan membantu kehidupannya sekeluarga.

“Saya jadikan modal untuk perniagaan daging. Kalau nak diikutkan, jumlah RM10,000 itu tidak mencukupi, namun, saya buat ikut kemampuan saya.

“Kali terakhir saya mencarum adalah pada 2009 ketika saya masih bertugas sebagai pengawal keselamatan suatu ketika dahulu,” katanya.

Bagaimanapun, Ali bersyukur apabila dia mula menerima tawaran berlakon dan bakal muncul dalam sitkom Lot 69 yang akan ditayangkan di saluran Awesome TV bermula 11 Jun ini.

Sementara itu Mstar melaporkan, Ali mengakui bersedia untuk bersemuka dengan Hidayah bagi menyelesaikan segala kemelut yang melanda antara mereka.

Bagaimanapun, Ali menolak jika ada mana-mana pihak yang sengaja mahu menjadikan kisah mereka berbaik sebagai satu bahan untuk tontonan umum

“Ada stesen televisyen yang mahu temukan kami, tetapi bagi saya jika mahu berdamai tidak perlulah diberitahu kepada khalayak.

“Biarlah saya lakukan sendiri. Dia juga boleh berjumpa saya untuk selesaikan segala masala berkaitan dokumen bagi tuntutan faraid,” katanya.

Untuk rekod, Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here