Annuar Musa didakwa gelar peserta konvensyen BN penakut?

0
1

SEORANG pemimpin muda Umno mendakwa Tan Sri Annuar Musa menggelar peserta yang berdiri pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam, ‘penakut’ kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Akmal Saleh meluahkan kekecewaannya terhadap sikap Annuar yang pernah menjadi pemimpin idolanya.

“Tadi semasa hampir semua peserta konvensyen BN berdiri semasa ucapan Pengerusi BN untuk memberi sokongan bahawa PRU perlu diadakan dalam tahun ini, saya lihat Tan Sri Annuar tidak berdiri menyatakan sokongan yang ketika itu duduk di hadapan saya.

“Saya menganggap itu perkara biasa apabila kita berbeza pandangan, tetapi apabila Tan Sri menggelar semua yang berdiri adalah penakut pada ayahanda presiden, saya terasa hati,” katanya.

Dr Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka menyifatkan tidak sepatutnya pemimpin sarat pengalaman dan kematangan seperti Annuar mengeluarkan perkataan seperti itu kepada ahli partinya sendiri.

“Tan sri Annuar, saya mungkin baru dalam politik tetapi apabila Tan Sri menggelarkan kami yang berdiri dalam kalangan ahli-ahli biasa ini yang menyatakan sokongan untuk mengadakan PRU tahun ini adalah penakut, saya anggap itu kenyataan yang tidak patut dikeluarkan pemimpin utama negara.

“Kami ahli biasa tidak pernah takut, malah kami ingin meminta PRU diadakan tahun ini dan lebih awal kerana kami ingin memulangkan semula mandat kepada rakyat supaya mereka dapat memilih kerajaan pilihan mereka,” katanya.

Dr Akmal juga mengingatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu bahawa kerajaan yang berdiri hari ini bukan mendapat mandat rakyat.

“Tan Sri pernah bercakap dahulu bahawa Umno dan BN tidak pernah mengkhianati mandat rakyat dan Tan Sri juga dulu antara orang yang bercakap bagi pihak parti untuk melakukan PRU apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang untuk menghormati prinsip mandat rakyat..

“Mungkin Tan Sri terlupa, saya mohon untuk mengimbau kembali apa yang Tan Sri pernah ucapkan dulu.

“Kami tidak pernah takut untuk melakukan pilihan raya kerana bagi kami kepentingan parti adalah lebih penting dari jawatan yang ada,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Akmal berharap Annuar memohon maaf atas apa yang berlaku di Konvensyen BN sempena ulang tahun ke-48 BN, semalam.

Ketika berucap pada Konvensyen BN sempena Ulang Tahun ke-48 BN di WTC semalam, Ahmad Zahid menggesa peserta berdiri sebagai menyokong agar PRU diadakan segera.

Gesaan itu dilontar di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut hadir.

“Siapa mahu PRU tahun ini? Siapa mahu PRU dalam masa terdekat… bangun,” kata Ahmad Zahid disambut dengan sorakan oleh peserta Konvensyen BN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here