Isu tepung: Sedia pelan mitigasi, jangan terlalu ‘yakin’ peroleh bekalan import – PAS

0
3

PAS menggesa kerajaan menyediakan pelan mitigasi komprehensif untuk menghadapi kemungkinan krisis bekalan tepung dalam tempoh enam bulan akan datang.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata kerajaan tidak harus merasa ‘terlalu yakin’ akan berterusan memperolehi bekalan yang diimport, sebaliknya mesti memiliki jangkaan paling ekstrem.

Katanya, pelan mitigasi komprehensif mesti diadakan agar risiko kewujudan ‘bom jangka’ akibat krisis bekalan gandum, dapat diminimumkan impaknya sekecil yang mampu.

“Kekurangan bekalan dijangka berlaku enam bulan dari sekarang, itupun jika tidak berlaku pembelian panik.

“Polemik bekalan dan harga tepung gandum telah berlarutan sejak lebih setahun lalu tidak ubah seperti barah yang secara perlahan-lahan sedang ke tahap kritikal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesan pandemik Covid-19 dan Perang Rusia-Ukraine, selain keputusan India mengumumkan larangan eksport gandum susulan perubahan iklim sekali gus menyaksikan harga global komoditi itu kini naik mendadak 60 peratus.

“Benar, Malaysia tidak mengimport dari negara itu, tetapi tempias sedunia pasti melanda semua. Sungguhpun India menyatakan larangan itu hanya bersifat ‘sementara’.

“(Namun) ramai sudah berpengalaman menyaksikan masalah seperti ini akan menjangkau satu tempoh sangat lama. Lalu ia menyebabkan masalah yang berantaian dan memberikan akibat buruk pihak-pihak berkeperluan,” katanya.

Khairil Nizam berkata, walaupun import Malaysia 80 peratus dari Australia dan bakinya dari Amerika Syarikat, Kanada, Ukraine dan Rusia, siren-siren amaran untuk bekalan terputus sudah semakin jelas ‘menjerit’.

“Apatah lagi pada aspek harga, Bank Dunia meramal ia akan meningkat 40 peratus tahun ini.

“Kerana hampir semua negara dunia memerlukan gandum sama ada bijirin mahupun tepung. Di mana ia menjadi antara pengambilan makanan terbanyak dan penting selepas ruji asasi di setiap benua,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengambil iktibar daripada kemungkinan terburuk yang boleh terjadi termasuk kesan domino seperti mana isu bekalan dan harga ayam, baru-baru ini.

Katanya, penggunaan gandum di Malaysia adalah tinggi dengan anggaran roti dan pastri pembuatan tangan sahaja dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion.

“Itu tidak termasuk yang berada di tahap industri, menunjukkan besar dan ramainya terlibat dengan penggunaannya. Hatta aneka kuih-muih, mi hinggalah variasi ‘colek’ perlukan tepung.

“Bayangkan operasi perniagaan berkenaan terpaksa dihentikan kerana dimaklumkan bekalan sedia ada hanya mampu bertahan untuk tiga atau empat bulan sahaja lagi,” katanya.

Beliau berkata, apa juga yang bakal terjadi, kerajaan diharap konsisten prihatin menjaga kepentingan rakyat dan penyumbang industri makanan ini.

Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan sedang mengurus masalah dihadapi dengan mencari sumber alternatif lain susulan tindakan India menyekat eksport gandum ke pasaran global termasuk Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here