TIMBALAN Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli mengesahkan menerima writ saman daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Sapura Energy Berhad (SEB), Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Menurut Rafizi, ia diterima pada jam 11.30 malam ketika beliau hadir satu majlis di Kuantan, 11 Mei 2022.
Katanya, writ itu adalah untuk mengesahkan bahawa Tetuan Zul Rafique & Partners, peguam kepada Shahril Shamsuddin telah memfailkan saman di mahkamah berhubung kenyataannya susukan desakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar kerajaan menyuntik wang untuk menyelamatkan SEB.
“Saya telah mengambil pendirian untuk mempertahankan kenyataan-kenyataan saya di mahkamah kerana ia adalah untuk melindungi kepentingan awam.
“Sejak 2010, saya telah melalui 14 kes di mahkamah (dari Mahkamah Sesyen hingga ke Mahkamah Persekutuan) demi mempertahankan wang rakyat.
“Sebahagian besar dari kes-kes itu bersabit skandal kewangan besar negara seperti National Feedlot Corporation (NFC), 1MDB, Majlis Amanah Rakyat, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya semalam.
Tambah Rafizi, setakat ini beliau menang kesemua kes saman yang dibawa terhadap saya di mahkamah.
“Dalam proses mahkamah itu, rakyat dapat menilai sendiri butiran terperinci yang menjadi latar belakang setiap skandal kewangan tersebut,” katanya.
Rafizi akan diwakili pasukan peguam diketuai Ranjit Singh dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh yang mewakilinya selama 11 tahun sepanjang perbicaraan kes NFC dari 2011 yang berpihak kepadanya baru-baru ini.
Katanya lagi, perbicaraan kes saman Shahril Shamsuddin adalah titik mula yang penting dalam usaha memastikan pelaburan rakyat melalui institusi pelaburan awam (seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain) memenuhi mutu piawai urus tadbir untuk pelaburan awam.
Rafizi berkata, dalam struktur ekonomi yang melibatkan banyak pelaburan dana rakyat besar di dalam syarikat swasta senarai awam, kerangka urus tadbir pelaburan awam mestilah lebih ketat untuk mengelak dana simpanan rakyat kerugian apabila syarikat-syarikat tersebut mengalami kerugian besar.
“Kebelakangan ini, pelaburan rakyat mengalami kerugian besar akibat masalah kewangan dihadapi syarikat-syarikat seperti Serba Dinamik Berhad dan Sapura Energy Berhad.
“Walaupun syarikat-syarikat ini secara rasminya adalah syarikat swasta yang dikawal secara majoriti oleh pemegang-pemegang saham individu, kerugian mendadak dialami telah menyebabkan kerugian besar kepada rakyat.
“Pulangnya saya ke arena politik tanah air disambut dengan kes mahkamah yang pertama yang dibawa oleh Shahril Shamsuddin.
“InsyaAllah saya akan terus bersuara untuk melindungi dana rakyat seperti sebelum ini biar pun terpaksa berdepan dengan lebih banyak kes mahkamah yang akan dibawa,” katanya. – Malaysiapost

