752 notis kesalahan merokok dikeluarkan dalam Ops Asap

0
1

SEHINGGA April tahun ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor telah mengeluarkan sebanyak 3,600 notis kesalahan membabitkan rokok dengan 88.5 peratus atau 3,187 daripadanya adalah kesalahan merokok di kawasan larangan merokok.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sha’ari Ngadiman, berkata lain-lain kesalahan adalah membabitkan pemilik permis gagal mempamerkan tanda larangan merokok (120 notis), gagal memastikan tiada orang merokok dalam kawasan larangan (114 notis), orang belum dewasa iaitu berusia bawah 18 tahun yang memiliki atau menghisap rokok (77 notis) dan lain-lain kesalahan.

Menurutnya, sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei lalu, Unit Inspektorat dan Perundangan JKN Selangor dan semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pintu Masuk telah melancarkan Operasi Mega Penguatkuasaan ‘Ops Asap’, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 serentak di seluruh Selangor.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan seramai 260 Pegawai Diberikuasa yang terdiri daripada Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.

“Hasil operasi mendapati sebanyak 752 notis kesalahan dikeluarkan dengan tawaran kompaun bernilai RM192,850.

“Seramai 594 individu dikenakan kompaun kerana merokok di kawasan larangan seperti di premis makanan (326), kawasan kompleks beli-belah (230) dan kawasan lapangan terbang (38) dikenakan tindakan.

“Manakala 50 notis kesalahan lagi dikeluarkan kepada premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 47 notis kepada premis gagal memastikan tiada yang merokok di dalam premis.

“Selain itu 18 notis dikeluarkan ke atas penjual hasil tembakau yang gagal mempamerkan tanda larangan jualan kepada orang belum dewasa dan 43 notis lagi dikeluarkan bagi kesalahan lain di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, setiap kompaun yang dikeluarkan itu bernilai RM250 hingga RM500, yang sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan tindakan pendakwaan akan diambil dan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun boleh dikenakan.

“Semoga dengan pelaksanaan Ops Asap ini dapat merealisasikan hasrat kerajaan menjadi negara bebas roko menjelang tahun 2045 dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai yang hendak membuat aduan mengenai kesalahan merokok, boleh menyalurkannya melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here