SELEBRITI terkenal Hollywood, Johnny Depp memenangi tuntutan saman terhadap bekas isterinya, Amber Heard selepas juri memutuskan artikel diterbitkan The Washington Post pada 2018 adalah fitnah.
Susulan itu, menurut laporan Sky News, Depp mendapat 15 juta dolar (RM65 juta) merangkumi pampasan ganti rugi 10 juta dolar (RM43 juta) dan ganti rugi punitif sebanyak 5 juta dolar (RM21 juta).
Pelakon Pirates of The Caribbean itu menyaman Heard sebanyak 50 juta dolar (RM219 juta) berhubung artikel diterbitkan The Washington Post yang merujuk dirinya sebagai ‘Tokoh awam yang mewakili penderaan domestik’.
Walaupun tidak menyebut nama Depp tetapi ia dinyatakan sebagai ‘fitnah secara tersirat’ kerana artikel tersebut merujuk kepada dakwaan penderaan dibuat Heard selepas mereka berpisah pada tahun 2016.
Heard pula telah mengemukakan saman balas sebanyak 100 juta dolar (RM439 juta) berhubung kenyataan menggelar dakwaannya sebagai ‘tipu daya’ yang dibuat oleh peguam Depp.
Dia telah mendapat sebanyak 2 juta dolar (RM8.7 juta) untuk tuntutan tersebut.
Menurut laporan, tujuh juri telah membuat keputusan untuk memihak kepada Heard atas pertuduhan dalam saman balasnya itu.
Susulan kemenangan itu, Depp menerusi kemaskini di Instagram berkata matlamat untuk membawa kes itu ke mahkamah bertujuan mendedahkan kebenaran tanpa mengira keputusannya.
“Bercakap benar adalah sesuatu yang saya perlu dilakukan untuk anak-anak dan orang sekeliling yang terus memberi sokongan.
“Saya berasa tenang mengetahui bahawa saya akhirnya berjaya mencapainya,” katanya. – Malaysiapost

