Sektor kaut untung, adil dan patut dikenakan lebih cukai – Najib

0
1

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berpendapat adalah adil dan patut kerajaan mengenakan cukai yang lebih ke atas sektor-sektor tertentu yang mendapat manfaat dengan krisis dialami dunia ketika ini.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memastikan sektor-sektor berkenaan diberi perhatian khusus supaya dapat memanfaatkan sepenuhnya keadaan harga yang tinggi ketika ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, gangguan kepada pengeluaran, stok dan logistik era pandemik ketika ini yang ditambah teruk oleh perang di Ukraine telah melonjakkan kadar inflasi dunia ke antara paras tertinggi sejak 40 tahun lalu.

Beliau berkata, keadaan hari ini adalah keadaan amat luar biasa dengan 100 tahun sudah berlalu sejak pandemik global pada tahun 1920-an, manakala perang Ukraine merupakan krisis terbesar benua Eropah dan negara-negara barat sejak 80 tahun dahulu.

“Jika nak kawal kesan-kesan kedua krisis ini secara sepenuhnya, amat susah tapi ini adalah cabaran global yang kerajaan perlu redakan dengan dasar-dasar yang baik serta adil.

“Sebagai negara pengeksport komoditi yang besar, Malaysia ada kelebihan dalam situasi ini. Harga-harga komoditi kini pada harga yang amat tinggi.

“Harga sawit adalah tiga hingga empat kali ganda berbanding harga sebelum pandemik bermula. Harga gas asli pula naik sehingga 10 kali ganda lebih tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, itulah sebab Petronas mampu melaporkan keuntungan besar sebanyak RM23 bilion bagi tiga bulan pertama tahun ini dan tidak mustahil sekiranya keuntungan mencecah RM100 bilion bagi keseluruhan tahun ini.

“Keuntungan-keuntungan syarikat perladangan besar juga berganda tiga hingga empat kali ganda berbanding sebelum pandemik.

“Begitu juga dengan sektor pembuatan elektronik yang sedang berkembang pesat dengan permintaan dunia yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, negara terkesan dari satu sudut tetapi turut menerima manfaat dari kedua-dua krisis berkenaan dari segi pendapatan susulan harga global komoditi yang mencecah paras tertinggi.

“Sebab itu, ianya adalah adil dan patut bahawa kerajaan mengenakan cukai yang lebih ke atas sektor-sektor ini di samping memastikan sektor-sektor ini diberi perhatian khusus supaya mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya keadaan harga yang tinggi ini.

“Erti kata lain kita memudahkan sektor-sektor ini meningkatkan pengeluaran tetapi kerajaan ambil sebahagian “durian runtuh” untuk membantu sektor-sektor lain yang terjejas serta untuk meredakan cabaran inflasi ketika ini.

“Dana yang lebih boleh digunakan untuk memberi lebih bantuan tunai kepada rakyat paling terjejas dengan kenaikan harga,” katanya.

Najib berkata, program pertanian dan penanaman makanan berskala amat besar boleh dimulakan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri supaya kita kurang bergantung kepada import.

Menurutnya, peruntukan bagi subsidi bahan makanan dan bahan binaan boleh dipertingkatkan agar pengeluar, pengimport serta sektor pembinaan tidak mengalami kerugian atau terpaksa henti beroperasi susulan harga yang tidak dapat dikawal.

“Skim pinjaman mudah dengan jaminan kerajaan berskala lebih besar boleh disediakan bagi perniagaan-perniagaan yang sedang mengalami masalah.

“Namun semua ini patut dipercepatkan dari segi perlaksanaan dan dikurangkan birokrasi sekiranya cadangan-cadanan ini diterima,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here