12 premis di Selangor tidak patuh harga maksimum ayam

0
4

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mendapati harga runcit ayam standard di pasar raya utama di negeri berkenaan secara keseluruhannya mematuhi harga maksimum runcit ayam yang telah ditetapkan iaitu RM8.90 per kilogram (kg).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Mohd Khairi Jamaludin, berkata bukan sahaja mematuhi harga maksimum, malah berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan pihaknya mendapati ada pasar raya yang menjual lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan iaitu antara RM6.99 hingga RM8.46 per kg.

Menurutnya, situasi variasi harga runcit ayam standard di Selangor juga berada pada kedudukan terkawal dan umumnya mematuhi harga maksimum ditetapkan.

“Berdasarkan rekod pemeriksaan sejak 5 Februari sehingga 30 Mei lalu, hanya 12 premis sahaja yang didapati tidak patuh dan menjual melebihi harga maksimum ditetapkan.

“Tidak dinafikan ada segelintir premis di lokaliti tertentu menjual ayam standard melebihi harga maksimum ditetapkan iaitu antara RM10 hingga RM11.50 per kg,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, notis diberikan kepada peniaga yang ingkar berkenaan dan pendekatan ini adalah bersifat seimbang untuk memberikan ruang kepada peniaga memberikan penjelasan di atas ketidakpatuhan.

Katanya, status keberadaan bekalan ayam standard di Selangor adalah pada tahap stabil dan tidak berada dalam situasi kritikal ‘out of stock’s dan secara realistiknya pengguna masih boleh mendapatkan bekalan ayam di pasaran sekitar Selangor.

“Tidak dinafikan berlaku situasi sementara sahaja iaitu kebolehdapatan bekalan ayam oleh setiap pengguna untuk kegunaan isi rumah maksimum dua ekor ayam sahaja.

“Situasi sementara ini berlaku disebabkan pengurangan hampir 30 hingga 50 peratus jumlah bekalan daripada pembekal ayam kepada pesanan runcit,” katanya.

Menurutnya, kini keberadaan bekalan ayam di Selangor semakin pulih dan pengguna terus diharap membeli mengikut keperluan dan tidak sesekali membuat pembelian panik.

Sementara itu, beliau memaklumkan KPDNHEP Selangor akan terus komited memantau harga dan bekalan ayam serta telah menghasilkan 77 kes dengan nilai kompaun RM19,000 dan nilai rampasan RM9,353. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here