
CALON Naib Presiden PKR yang tewas, Farhash Wafa Salvador sekali lagi menggesa penilaian semula dilakukan terhadap pemilihan parti itu, kerana mendakwa banyak bantahan dan keraguan yang timbul.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bantahan itu bukan hanya membabitkan dirinya, tetapi ramai calon yang bertanding turut menyuarakan keraguan sama.
Justeru, beliau amat berharap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengambil serius pandangan calon yang telah mengemukakan bantahan secara rasmi, selain membuat penambahbaikan.
“Ini bukan soal tidak berlapang dada menerima kekalahan, tetapi persoalannya ada berbangkit keraguan atas kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti ini telah dikompromi dan berlakunya manipulasi oleh pihak-pihak tertentu.
“Jika dilihat secara kasar pun persoalan terhadap sistem pengundi atas talian (PAT) sudah mendedahkan satu mekanisme dan prosedur yang diragui ketelusannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua undi dikumpul dan dikira oleh JPP yang terdiri dari ahli-ahli parti diumumkan, tanpa sebarang ‘check and balance’.
“Proses ini tidak berlaku dengan kehadiran pihak ketiga atau wakil-wakil calon, maka persoalan samada berlaku manipulasi adalah logik.
“Tiada siapa dari pihak calon mahupun pihak ketiga hadir dalam kiraan undi untuk mengesahkan bahawa angka-angka yang dicatat adalah benar.
“Kelewatan pengumuman keputusan sehingga beberapa hari selepas pemilihan sedangkan pengundian atas talian sepatutnya lebih memudahkan dan mempercepatkan proses, juga mendedahkan keputusan kepada manipulasi,” katanya.
Jelasnya lagi, sedangkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang melibatkan jutaan rakyat dengan undi dan kiraan dibuat secara fizikal, keputusan boleh didapati dalam beberapa jam sahaja.
Justeru, beliau menggesa satu audit forensik oleh entiti bebas ke atas mekanisme pemilihan parti dilaksanakan, selain satu kiraan semula undi-undi di hadapan saksi terdiri dari wakil-wakil calon adalah wajar.
“Setelah segala kesangsian dan keraguan bahawa pemilihan parti ini telah tercemar oleh manipulasi dapat diatasi, kita semua, termasuk saya sendiri, boleh berlapang dada menerima keputusan itu sebagai sesuatu yang sah.
“Keputusan pun dapatlah dikira sebagai rasmi dan yang menang boleh terus menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa sangsi,” katanya.
Beliau juga mencadangkan supaya pertikaian itu tidak berulang pada pemilihan akan datang, selain berharap sistem pemilihan benar-benar bebas daripada campur tangan pihak yang berkepentingan.
“Begitu juga proses kiraan undi, sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih terbuka dengan keputusan disiarkan secara langsung.
“Jika kita melaungkan reformasi, ia haruslah dipraktikkan dalam parti kita sendiri,” katanya.
Selain jawatan Naib Presiden, Farhash turut mencabar Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk jawatan Ketua Cabang Gombak tetapi juga tewas. – Malaysiapost
