65,535 kes HFMD dilaporkan tahun ini.

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan situasi terkini penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Malaysia bagi tahun 2022 sehingga 28 Mei lalu, sejumlah 65,535 kes HFMD telah dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 27 kali ganda bagi tempoh yang sama bagi tahun 2021 (semasa pandemik Covid-19) iaitu 2,333 kes.

Menurutnya, bagi tempoh sama, Selangor menyumbang jumlah kes HFMD tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 18,525 kes (28.27 peratus), diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 8,088 kes (12.34 peratus), Perak 5,810 kes (8.87 peratus), Kelantan 4,905 kes (7.48 peratus), dan Sabah 4,077 kes (6.22 peratus.

“Sebanyak 59,831 kes HFMD (91 peratus) dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah dan 4,593 kes (7 peratus) adalah kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

“Survelan enterovirus pula mendapati tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022; iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coxsackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada tahun ini, sehingga kini, terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU).

“Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan disahkan dijangkiti EV71 yang kedua-duanya masih di bawah pemantauan rapi di ICU.

“Manakala kes ketiga dimasukkan ke ICU kerana pemantauan selepas pembedahan perut. Kes ketiga ini telah pun dipindahkan ke wad pembedahan biasa pada 27 Mei 2022 untuk pemantauan lanjut,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, sebanyak 1,505 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 502 wabak, diikuti Selangor 172 wabak dan Perak 168 wabak.

Menurutnya, majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 913 wabak diikuti di rumah persendirian dengan 526 wabak dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 51 wabak.

Katanya, wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

“Sehingga 29 Mei 2022, sebanyak 1,174 premis taska/ tadika/ tabika/ pra-sekolah telah ditutup; iaitu 228 premis secara sukarela dan 946 premis ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Manakala, sebanyak 715 premis telah dibuka semula setelah pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah mendapati langkah basmi kuman telah diambil dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan yang lain telah dilaksanakan premis berkenaan,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak kecil agar tidak membawa anak ke tempat-tempat yang berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here