Rasuah pengurusan jenazah: 4 lagi kakitangan hospital ditahan

0
3
Skuad Pengurusan Jenazah covid-19 Malaysia menguruskan jenazah covid-19 setelah dimasukkan ke dalam kubur di Tanah Perkuburan Batu 5 Jalan Ipoh.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan empat kakitangan sebuah hospital kerana disyaki meminta dan menerima suapan antara RM1,000 dan RM5,000 setiap seorang bagi kerja berkaitan pengurusan jenazah.

Menurut laporan Bernama yang memetik sumber, dua suspek adalah pembantu kesihatan dan dua lagi penolong pegawai perubatan berusia 35 hingga 41 tahun.

Mereka ditahan kira-kira 6 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber itu, kesemua suspek dipercayai meminta dan menerima wang suapan daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, tiga daripada suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk mendapatkan perintah reman, manakala seorang lagi suspek yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan.

Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan masing-masing berusia 40 dan 42 tahun direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here