PELAKON veteran, Aripah Damanhuri meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi tadi.
Pemergian Allahyarham, 73, yang juga kakak kepada pelakon, Normah Damanhuri disahkan melalui Facebook milik anaknya Fais al-Hajari.
“Mak akhirnya pergi juga. Bagi sesiapa yang mengenali mak Aripah Damanhuri, dukacita dimaklumkan mak baru saja meninggal dunia jam 8.15 pagi tadi di Wad 23 HKL.
“Pohon sedekahkan doa kepada mak. Kalau mak ada apa-apa hutang yang belum langsai, hubungilah saya Insya-Allah, ” tulisnya.
Allahyarham aktif berlakon sejak 1980-an dan antara filem lakonannya ialah Senario XXX selain drama Gerak Khas dan Air Mata Maria.
Sebelum ini media melaporkan Aripah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak mula dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 23 April lalu.
Aripah dilaporkan ditidurkan di ICU HKL sejak 23 April lalu selepas disyaki mempunyai jangkitan kuman dalam paru-paru. – Malaysiapost

