Petugas haji TH sedia terima kumpulan jemaah haji pertama Malaysia

0
2

SERAMAI 97 petugas haji Tabung Haji (TH) telah berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi membuat persiapan untuk menerima kumpulan jemaah haji Malaysia tahun ini.

Dalam satu perkongsian di laman web rasminya, TH memaklumkan kumpulan pertama petugas haji berkenaan seramai 13 orang sudah berada di Mekah dan Madinah.

Menurutnya, seramai 84 lagi petugas haji TH bagi kumpulan kedua ‘Advance Party’ telah berangkat ke Tanah Suci, semalam.

“Petugas-petugas haji TH akan membuat persiapan rapi untuk menerima kumpulan jemaah haji Malaysia yang pertama yang akan sampai di Madinah pada 4 Jun 2022.

“Semoga segala urusan petugas dan jemaah haji Malaysia dipermudahkan Allah SWT di kedua-dua tanah air dan Tanah Suci,” menurut TH.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama ) Datuk Idris Ahmad, yakin semua kakitangan TH benar-benar teruja dan bersiap siaga untuk menguruskan segala keperluan teknikal para jemaah yang cukup bertuah ini.

Beliau berkesempatan meninjau persiapan urusan haji di TH cawangan Taiping, semalam.

“Selepas menempuh bulan Ramadan dan Syawal. Maka tiba pula persiapan bagi mengerjakan ibadah Haji.

“Saya mengambil sedikit kesempatan masa menziarahi cawangan Tabung Haji di Taiping, untuk melihat kesungguhan para kakitangan di sana dalam persiapan menyambut urusan-urusan bakal jemaah Haji pada tahun ini di sekitar kawasan ini.

“Alhamdulillah. Melihat kesungguhan yang dijalankan, saya yakin semua kakitangan TH benar-benar teruja dan bersiap siaga untuk menguruskan segala keperluan teknikal para jemaah yang cukup bertuah ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut mendoakan pahala yang berpanjangan kepada semua kakitangan TH di seluruh Malaysia yang bekerja kuat untuk kelancaran semua tetamu Allah SWT pada tahun ini.

Penerbangan pertama kumpulan jemaah haji Malaysia tahun ini dijadualkan berlepas pada 4 Jun ini, manakala penerbangan terakhir dijangka pada 2 Julai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here