Pemilihan PKR selesai, kini masa perkukuh PH hadapi PRU15 – DAP

0
2

DAP berharap selesainya proses pemilihan PKR, maka fokus kini ialah memperkukuh kerjasama antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata semua pemimpin dalam PH terutama ahli Majlis Presiden perlu merapatkan saf dan menggembleng seluruh tenaga untuk memenangi semula keyakinan rakyat terhadap perjuangan pakatan itu.

“Dengan kerjasama yang erat dan semangat berpasukan yang tinggi serta fokus kepada perjuangan rakyat, PH mampu bangkit semula dalam PRU15,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Loke turut mengucapkan kepada pimpinan tertinggi PKR yang baru dipilih khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang tanpa bertanding sebagai Presiden dan Rafizi Ramli yang dipilih Timbalan Presiden.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Naib-Naib Presiden PKR yang baharu iaitu Datuk Seri Amirudin Shaari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Aminudin Harun.

Pada masa sama Loke merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden kepada Rafizi.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dari tahun 2012 sehingga 2022, kami telah menjalin hubungan kerja yang amat rapat dan kukuh.

“Kami sentiasa memainkan peranan di belakang tabir untuk mengurus dan menyelesaikan apa sahaja isu dalam hubungan antara PKR dan DAP. Hubungan kerja yang rapat ini telah membentuk satu persefahaman dan kepercayaan tinggi antara satu sama lain.

“Saya berharap beliau akan terus berjuang dan menyumbang tenaga demi keutuhan Pakatan Harapan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here