PM cadang tubuh Suruhanjaya Patuh Syariah

0
2

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Patuh Syariah berperanan dalam pelbagai sektor ekonomi halal dalam pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu akan membolehkan sektor ekonomi halal negara yang lebih komprehensif boleh disatukan melalui penubuhan suruhanjaya berkenaan.

“Saya menyeru saranan ini dapat diberi perhatian sewajarnya agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai Model Rujukan Utama dalam bidang Ekonomi Halal dapat direalisasikan,” katanya sempena Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi 2022 di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, di negara ini tanggungjawab, peraturan dan pemasaran halal terletak di bawah kuasa badan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation (HDC), dan Majlis Agama Islam Negeri.

Katanya, agensi kerajaan itu menerajui pembangunan industri halal dengan turut menetapkan standard halal, proses audit untuk melindungi integriti halal serta menyelaras pembangunan industri halal Malaysia di sektor awam dan swasta.

“Perkembangan ini menyaksikan Malaysia menjadi rujukan sebagai model halal hub global. Pembangunan ekosistem halal komprehensif menjadikannya sumber baharu pendapatan negara,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik penubuhan Dana Endowmen Ekonomi Halal dan berharap usaha tersebut boleh memperkasakan aktiviti akademik dan intelektual dalam bidang ekonomi halal agar Malaysia dapat menerajui agenda ekonomi halal di peringkat pengajian tinggi.

“Pada masa sama, saya ingin melihat program pembangunan modal insan dalam bidang ekonomi halal di peringkat antarabangsa juga dapat dilaksanakan.

“Pihak Kementerian khususnya Kementerian Pengajian Tinggi, JAKIM, HDC dan pihak industri diseru supaya dapat menyokong usaha murni ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here