MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengucapkan tahniah kepada bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR.
Menerusi hantaran di Instagram, bekas Ketua Pemuda Umno itu turut mengucapkan selamat kembali ke kancah politik kepada Rafizi setelah ‘berehat’ beberapa tahun.

Khairy turut menyifatkan Rafizi sebagai ahli politik yang sangat berbakat dalam generasi yang seangkatan dengannya.
“Saya selalu berkata anda ahli politik paling berbakat dalam generasi kami dan mendoakan yang terbaik (walaupun berada dalam pasukan lawan),” tulis Khairy.
Keputusan tidak rasmi pemilihan PKR setakat ini menyaksikan Rafizi menang jawatan Timbalan Presiden PKR.
Kemenangan bekas Ahli Parlimen Pandan itu diperoleh hasil undi tertinggi yang diraihnya di kebanyakan cabang di negeri-negeri, sekali gus mengatasi pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – Malaysiapost

