Kerajaan tidak pernah halang media lapor sebarang berita – PM

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyambut baik Deklarasi Melaka yang diumumkan pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita di negara ini.

Katanya, kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap semua yang dilaporkan oleh media sebelum tindakan susulan diambil untuk menyalurkan bantuan kepada Keluarga Malaysia.

Malah, beliau turut memberi jaminan tiada apa yang hendak disembunyikan kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara.

“Menjadi harapan kerajaan agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif dalam mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.

“Saya yakin, langkah semak dan imbang terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan integriti dan kepercayaan orang ramai terhadap media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian HAWANA di Hotel Hatten, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, Melaka dicadang untuk dijadikan Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia yang pertama di negara ini.

Ismail Sabri berkata, cadangan itu relevan dengan mengambil kira sejarah Melaka sebagai antara tempat bermulanya perkembangan dunia kewartawanan.

Beliau berkata, pusat kajian tersebut bakal mengumpul data rujukan melibatkan semua bentuk kajian yang dilakukan ke arah memantapkan disiplin kewartawanan di Malaysia.

“la juga boleh melibatkan interaksi dengan pelbagai bidang kemasyarakatan lain merentasi konteks budaya yang berbeza.

“Saya berharap pusat tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan akademik dan penyelidik menjalankan kajian sejarah serta perjalanan bidang kewartawanan di Malaysia dan juga di Nusantara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here