Hari Wartawan Nasional perlu dijadikan agenda nasional

0
1

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) perlu dijadikan agenda nasional sebagai mengiktiraf peranan profesion wartawan dan pengamal media di negara ini.

Annuar berkata, beliau secara peribadi memberi jaminan akan memberi keutamaan tinggi terhadap sambutan HAWANA selagi berkhidmat dalam kerajaan.

Katanya, kerajaan dan kementerian mesti memberi pengiktirafan kepada status sambutan HAWANA.

“Ini bermakna negara mesti beri pengiktirafan dan sekarang Kabinet bersetuju untuk sahkan HAWANA dan kita berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pengiktirafan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Forum Media Nasional, sempena sambutan HAWANA 2022, hari ini.

Selain itu, Annuar mahu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengambil berat dan memberi maklum balas kepada segala perkara yang dirumuskan serta dibincangkan dalam forum yang dianjurkan pada HAWANA 2022 dan akan datang.

Katanya, hasil perbincangan itu penting dalam membantu menyelesaikan sebarang masalah termasuk keluh kesah wartawan dan pengamal media yang tidak diketahui umum.

Annuar juga mahu K-KOMM membantu persatuan wartawan di negara supaya dapat dikoordinasi sebaiknya bagi mewujudkan satu badan khusus untuk menaung dan menjadi suara kepada pengamal media.

“Saya difahamkan kita banyak persatuan wartawan namun ada yang aktif, ada yang tidak aktif, jadi kita nak supaya ada badan yang memayungi agar perwakilan kewartawanan itu lebih teguh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here