Malaysia tidak gagal tapi tidak bernasib baik

0
2

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar menyangkal dakwaan skuad bola sepak bawah 23 (B-23) negara pada Sukan SEA Hanoi baru-baru ini sebagai satu kegagalan.

Beliau berkata, apa yang dilalui skuad negara di Sukan SEA hanya dipisahkan oleh faktor nasib, namun kerja keras masih perlu dilakukan sebelum ke Piala Asia B-23.

“Saya rasa Majlis Sukan Negara (MSN) kata gagal sebab kita tidak dapat pingat, kalau kita dapat pingat gangsa mungkin dia kata tidak gagal. 

“Pemain sudah tunjukkan prestasi baik dan saya sendiri lihat cuma mungkin dari segi nasib kita tidak ada dan aspek penyudah perlu dipertajamkan,” katanya dipetik Kosmo.

Saifuddin menegaskan, anak buah Brad Maloney telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan namun dalam bola sepak jaringan gol akan memberi kejayaan kepada pasukan.

“Bagi kami di FAM, ini adalah pendedahan yang baik untuk pemain sebagai persiapan ke Piala Asia B-23. (Pendirian FAM) tidak boleh kata gagal, kalau dari segi prestasi memang bagus tetapi dalam bola sepak ini yang mustahak adakah kita mampu jaringkan gol atau tidak.

“(Sama ada adil atau tidak rumusan sebagai gagal) memang saya tidak boleh komen kerana sudah pasti MSN ada KPI (petunjuk prestasi utama) dia sendiri. Saya kena tanya MSN berkaitan hal ini kerana tentu mereka ada KPI,” katanya.

Pada aksi penentuan pingat gangsa, skuad negara tewas 4-3 kepada Indonesia dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar.

Skuad negara boleh dikatakan ‘lulus ujian’ apabila muncul pasukan tunggal tidak menggunakan pemain lebih umur dan berjaya memberikan saingan kepada pencabar lain yang memiliki tonggak senior malah turut mencemaskan juara bertahan yang juga tuan rumah, Vietnam pada separuh akhir.

Cabaran skuad B-23 ke Hanoi kali ini hanya berpaksikan kepada persiapan sebelum menghadapi tugasan lebih getir pada Piala Asia B-23 di Uzbekistan, bulan depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here