PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berhubung pelancaran parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hari ini.
Beliau berkata, GRS bakal memenuhi aspirasi rakyat Sabah sekaligus dapat meningkatkan kemajuan rakyat dan pembangunan di negeri itu.
“Saya mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelancaran GRS yang dipimpin oleh Hajiji merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah.
“Penubuhan GRS yang turut disertai oleh dua parti anggota PN yang lain iaitu STAR dan SAPP diharapkan dapat memenuhi aspirasi rakyat di negeri Sabah untuk memacu kemajuan dan pembangunan negeri yang lebih rancak dan mampan,” katanya di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Hajiji merasmikan pelancaran GRS dalam satu majlis yang diadakan di Kota Kinabalu, hari ini.
Untuk rekod ketika ini GRS dianggotai Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).
Barisan Nasional (BN) pula bukan menjadi anggota GRS walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang mentadbir Sabah ketika ini.
BN baru-baru ini membayangkan mereka tidak akan menyertai gabungan berkenaan.
Sebelum ini GRS menolak permohonan dua parti lain iaitu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang diketuai Adun Melalap, Peter Anthony, serta Parti Cinta Sabah (PCS) yang dipimpin bekas menteri luar, Anifah Aman. – Malaysiapost

