
FGV Holdings Bhd mensasarkan untuk menghasilkan 75,000 metrik tan makanan berasaskan isirung kelapa sawit sebagai dedak haiwan ternakan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Nazrul Izam Mansor berkata, sasaran pengeluaran isirung itu adalah lebih tinggi berbanding 40,000 metrik tan tahun lalu.
Menurutnya, langkah itu bagi memenuhi permintaan isirung dalam industri ternakan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada bahan import.
“Sebagai syarikat perladangan kelapa sawit, kami boleh keluarkan isirung yang boleh dibuat makanan ternakan untuk lembu, kambing dan ayam
“Selalu orang bertanya, untuk kuantiti diperlukan negara, mungkin tidak mencukupi sebab negara tidak keluarkan bijiran mencukupi, dengan adanya pengeluaran isirung, kita boleh kurangkan pergantungan kepada bijiran import,” katanya ketika ditemui media pada Rumah Terbuka Aidilfitri FGV, di Kuala Lumpur, hari ini.
Nazrul berkata, dalam keluarga Felda, pihaknya memiliki akses kepada tanah lebih 1 juta hektar dan menerusi agenda keselamatan makanan, peluang FGV terajui agenda makanan negara amat bertepatan.
“Selain perniagaan perladangan, kami juga ada gula, pertanian bersepadu, untuk pisang, nenas, beras, yang boleh dijual kepada rakyat melalui rangkaian pengedaran.
“Sejak jenama Saji menjadi minyak paling popular dengan pegangan pasaran 47 peratus, semua barang boleh masuk ke distribution,” katanya. – Malaysiapost
