PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin lawatan kerja rasmi sulungnya ke Jepun bermula 23 Mei lalu hingga hari ini akan membuka lebih banyak peluang-peluang baru dalam semua sektor yang bakal memanfaatkan Keluarga Malaysia.
Beliau turut percaya matlamat lawatan kerja rasmi itu tercapai dan hubungan antara Malaysia dan Jepun terus kukuh serta memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.
Menurutnya, beliau dan rakan sejawat, Fumio Kishida bersetuju memperkukuhkan ekonomi dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.
“Ini termasuk dalam konteks kerjasama ekonomi serantau seperti Kerangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian TransPasifik (CPTPP).
“Saya telah mencadangkan bahawa isu-isu serantau dan antarabangsa semasa pertemuan tersebut dapat dibincangkan secara terperinci dalam rangka Sidang Kemuncak Khas ASEANJepun yang akan diadakan pada tahun hadapan.
“Kami akan terus berhubung rapat bagi membincangkan dan menetapkan hala tuju kerjasama Malaysia-Jepun serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang penting kepada kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, antara pencapaian yang signifikan dalam lawatan rasminya ke Jepun dari 23 hingga 28 Mei itu, beliau dan Kishida telah meterai tiga memorandum kerjasama (MOC).
Katanya, antara MOU tersebut adalah Memorandum Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun (METI) mengenai Industri Pesawat.
“Memorandum Kerjasama dalam Rangka Kerja Asas bagi Perkongsian Maklumat Operasi berkaitan Sumber Pekerja Asing dengan status penduduk kategori pekerja mahir yang dikenal pasti.
“Turut dimeterai Memorandum Kerjasama Antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT) mengenai kerjasama dalam bidang belia dan sukan,” katanya.
Selian itu, buat julung kalinya beliau memberi ucap tama di Persidangan Nikkei dibuat dalam Bahasa Melayu.
“Sebagaimana ucapan saya di Nikkei, saya juga berbicara dengan Kishida dalam Bahasa Melayu semasa pertemuan dengan beliau.
“Pengukuhan penggunaan Bahasa Melayu di platform antarabangsa seperti Persidangan Nikkei dan pertemuan dengan rakan sejawat merupakan sebahagian usaha Kerajaan dalam memartabatkan Bahasa Melayu di persada dunia,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Ismail Sabri Yaakob

