Kerajaan disaran meneruskan  Pelan Induk Pembangunan Jagung Bijian 2018-2032

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyarankan kerajaan meneruskan Pelan Induk Pembangunan Jagung Bijian 2018-2032 yang dirangka dan dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2016.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, matlamat pelan itu adalah untuk menghasilkan 30 peratus keperluan jagung dan dedak ayam dan lembu negara.

Menurutnya, ia kerana negara hari ini bergantung hampir 100 peratus kepada import jagung.

“Peruntukan yang cukup besar juga diberi untuk pelan ini semasa saya membahas Bajet 2018 sebab penanaman jagung disasar sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara.

“Masa itu, jenis benih/hibrid sudah dipilih. Kawasan-kawasan yang sesuai ditanam jagung juga dikenal pasti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berkata, dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada akhir tahun 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda, beliau juga pernah menyarankan kerajaan-kerajaan negeri untuk menyediakan tanah masing-masing untuk skim ala FELDA bagi penanaman makanan.

“Melihat harga dunia yang semakin meningkat dan bekalan jagung dunia yang semakin tidak stabil yang juga memberi kesan kepada bekalan serta harga ayam, saya rasa ianya masih untuk kerajaan hari ini untuk teruskan Pelan induk ini.

“Malah bukan sahaja teruskan tetapi dipercepatkan dan diberi keutamaan paling utama sebab ‘food security’ ketika ini adalah sangat penting dan ayam merupakan sumber protein utama rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, biarpun negara mengalami kekurangan sumber pekerja ketika ini, penanaman jagung pada skala besar adalah lebih bergantung kepada automasi dan mesin.

“Tempoh menanam sehingga menuai juga adalah singkat. Jenis benih sudah ada, pelan pembangunan sudah ada.

“Kini tinggal saja keazaman kerajaan dan kerjasama antara kerajaan pusat dengan negeri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here