AHLI Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin masih belum letak jawatan atau dipecat sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, setakat ini tiada sebarang keputusan yang dibuat berhubung kedudukan Zuraida yang mengumumkan keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Beliau berkata, pelbagai pandangan diterimanya termasuk daripada kalangan Menteri Kabinet mengenai kedudukan menteri berkenaan di dalam Kabinet.
“Ada yang Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) punya pandangan dan saya lihat dikalangan Menteri Kabinet pun..KJ (Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin) buat pandangan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) buat pandangan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pembangunan Luar Bandar) buat pandangan.
“Semua orang mempunyai pandangan yang berbeza-beza dalam soal ini. Tetapi keputusan terakhirnya adalah kepada Perdana Menteri. Jadi oleh kerana masih terlalu awal untuk saya buat keputusan kerana belum ada perjumpaan, belum ada berbincang dan sebagainya, saya tidak komenlah apa tindakan seterusnya.
“Tunggu saya balik, saya panggil dia (Zuraida) bincang kemudian baru saya buat keputusan,” katanya yang kini berada di Jepun dalam lawatan kerja rasmi di negara berkenaan.
Menurutnya, setakat ini Zuraida masih boleh menghadiri Mesyuarat Kabinet termasuk yang dijadualkan pada Rabu ini dan meneruskan tugas seperti biasa.
“Sebab dia tidak letak jawatan sebagai Menteri Kabinet dan saya pun tak pecat dia sebagai Menteri Kabinet, jadi dia masih lagi Menteri Kabinet sehingga Mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.
“Sehingga dia berjumpa saya dan walaupun dia berjumpa saya…saya tidak tahu sama ada akan buat keputusan atau tidak.
“Bermakna sehingga saya memutuskan untuk dia berhenti sebagai menteri dan saya lantik menteri yang lain..kalau saya lantik menteri yang lain, kita tidak tahu lagi apa sebenarnya,” katanya.
Ismail Sabri berkata, semua pihak berhak memberi pandangan masing-masing berhubung perkara itu dan beliau menghormati setiap pandangan yang diberi serta mungkin dijadikan landasan untuk membuat keputusan kelak.
“Sedih atau tidak, sudah tidak boleh buat apa-apa lagi kerana perkara sudah disebut (umum keluar parti) dan sekarang kita kena pandang ke hadapan untuk keputusan seterusnya,” katanya. – Malaysiapost

