Zuraida aset penting PBM – Daroyah Alwi

0
2

WANITA Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengalu-alukan kemasukan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang dilihat akan memperkasa kepimpinan PBM.

Ketua Pergerakan Wanita PBM Dr Daroyah Alwi, berkata pengumuman yang dibuat oleh ‘iron lady’ berkenaan yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) semalam adalah satu berita yang mengembirakan.

Menurutnya, ia bakal memberi keuntungan kepada PBM khasnya bagi sayap pergerakan wanita kerana perjuangan Zuraida dalam memperkasakan wanita tidak boleh disangkal.

“Bermula sebagai aktivis, ahli politik, ahli parlimen dan kini sebagai menteri, beliau (Zuraida) masih lagi teguh bersama usul perjuangan iaitu wanita di Malaysia harus diberikan pembelaan dan pemberdayaan sewajarnya.

“Beliau konsisten mempertahankan hak dan mengangkat martabat wanita di negara ini bukan sahaja dalam gelanggang Dewan Rakyat, malah di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu juga merupakan satu-satunya pemimpin wanita Malaysia yg dilantik sebagai Ambassador oleh Women Political Leader (WPL), sebuah yayasan antarabangsa yang berpusat di Iceland dan dianggotai pemimpin politik wanita seluruh dunia.

Katanya, Zuraida mempunyai kebolehan dan pengalaman luas dalam pentadbiran yang membantu mengangkat prestasi kementeriannya.

“Ketegasan keperibadian dalam mempertahankan dan memperjuangkan setiap apa yang dibawa meyakinkan selain progresif dan intelek dalam membuat keputusan.

“Pengalaman bernilai Ahli Parlimen Ampang yang benar-benar peduli dan peka terhadap nasib rakyat itu bakal menjadi aset berharga buat kami di PBM,” katanya.

Daroyah berkata, melihat prestasi cemerlangnya dan selaras pendirian PBM menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, wajar memberi pertimbangan sebaiknya untuk mengekalkan jawatannya demi memastikan KPPK terus dipacu unggul mengikut apa yang telah dirancang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here