KEJAYAAN guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Khalifa Affnan dipilih sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022 perlu dijadikan penyuntik semangat Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, kejayaan itu boleh dijadikan pemangkin kepada Keluarga Malaysia yang lain untuk berusaha keras menempa kejayaan dalam bidang masing-masing.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cikgu Khalifa, yang dipilih sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.
“Seluruh Keluarga Malaysia berbangga dengan kejayaan Cikgu Khalifa ini yang mengharumkan nama Malaysia dalam bidang perguruan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, difahamkan Khalifa juga adalah guru pertama di rantau ini yang dinobatkan anugerah ini.
“Pencapaian beliau dalam mencetuskan satu projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) ini perlu dijadikan penyuntik semangat Keluarga Malaysia lain untuk berusaha keras menempa kejayaan dalam bidang masing-masing.
“Syabas dan tahniah sekali lagi kepada Cikgu Khalifa. Selamat maju jaya dan teruskan kecemerlangan anda di mana sahaja anda berada,” katanya. – Malaysiapost

