PAC pandang serius isu penyelewengan perkhidmatan perubatan

0
1

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memandang serius mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan serta pakej rangsangan yang diberikan Kerajaan.

Pengerusinya Wong Kah Woh, berkata PAC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan demi kepentingan peribadi.

“Sehubungan itu, saya sudah memaklumkan secara rasmi kepada Ketua Audit Negara semalam, supaya Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan khas.

“Pengauditan itu adalah terhadap perolehan dan perbelanjaan Kerajaan untuk perkhidmatan perubatan ketika negara berhadapan dengan wabak Covid-19, dan isu penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan serta pakej rangsangan yang diberikan Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengauditan khas itu harus disegerakan dengan dapatan dan hasil dibentangkan kepada PAC supaya dapat mengenal pasti wujud unsur penyelewengan, pemborosan dan penyalahgunaan kuasa dalam perolehan perkhidmatan perubatan berkenaan.

“Dengan pengauditan khas yang dinyatakan di atas, PAC akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan Peraturan Mesyuarat 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No. 2 (1982).

“Ia untuk memanggil Kementerian Kewangan (MOF), SPRM serta Kementerian / Agensi yang terbabit memberikan taklimat dan penjelasan kepada jawatankuasa ini berhubung perkara ini,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika menyampaikan ucaptama pada pada Forum Antirasuah Malaysia ke-3 (MACF), di Putrajaya pada 24 Mei lalu mendedahkan wujudnya aktiviti penyelewengan rasuah membabitkan perolehan perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, perkara itu tidak dihebahkan kepada umum, namun pihaknya telah melakukan siasatan lanjut mengenainya.

Beliau berkata, siasatan yang dilakukan antaranya membabitkan salah guna kuasa dalam agihan bantuan dan pakej rangsangan ekonomi.

Katanya, siasatan turut dilakukan membabitkan penipuan berkaitan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan (topeng muka, sarung tangan dan lain-lain) dari segi kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang lebih rendah.

Menurutnya, SPRM turut menyiasat aktiviti rasuah membabitkan pegawai penguat kuasa dalam barisan pasukan penguatkuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here