Kakitangan MP Lembah Pantai positif Covid-19

0
3

AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menjalani ujian swab selepas seorang daripada kakitangan di pejabatnya yang baru pulang dari Sabah disahkan positif Covid-19.

Fahmi berkata, beliau dan semua kakitangan pejabatnya ke Klinik Kesihatan Tanglin Kuala Lumpur bagi menjalani saringan Covid-19 pagi tadi sebelum menjalani kuarantin di rumah.

“Semalam salah seorang staf pejabat saya yang baru pulang dari Sabah pada 25 September lalu telah disahkan positif Covid-19. Beliau dibawa ke Hospital Sungai Buloh (Selangor) untuk rawatan dan isolasi.

“Memandangkan staf tersebut merupakan kontak rapat kami, pagi ini kami jalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin di rumah,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, susulan itu Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai terpaksa ditutup sehingga tempoh kuarantin selesai.

“Langkah tersebut bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai.

“Unit dekontaminasi akan dihantar untuk proses dekontaminasi pejabat petang ini.

“Buat sementara waktu, warga Lembah Pantai yang ingin berurusan dengan pejabat (Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai) boleh menghubungi kami melalui laman FB ini atau melalui e-mel,” katanya. -Malaysiapost