Sindiket nikah Siam: Tak perlu saksi dan wali, tak perlu ke mahkamah

0
2

Aiman Hanif

TAK perlu saksi ataupun wali, cukup sekadar dengan kehadiran pasangan pengantin maka majlis pernikahan dapat disempurnakan.

Cara mudah dan ringkas itu menyebabkan ramai pasangan yang berdepan “masalah” memilih untuk menjalani pernikahan dengan menggunakan khidmat sindiket “nikah di Siam'”.

“Tak perlu wali ataupun saksi…saksi dan wali kami sediakan. Pasangan perlu sediakan bayaran saja.

“Jangan risau pernikahan anda sah dan kami merahsikan pernikahan anda, terpulang pada anda,” demikian kata wakil sindiket berkenaan kepada Malaysiapost.

Semalam Malaysiapost melaporkan ketika negara masih lagi mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), satu kumpulan berpangkalan di ibu kota aktif menawarkan khidmat pakej ‘pernikahan di Siam’ ataupun Thailand.

Perkhidmatan itu ditawarkan kepada pasangan yang ‘mempunyai masalah’ untuk membina rumah tangga baik buat kali pertama ataupun berpoligami.

Wartawan Malaysiapost menyamar sebagai individu yang ingin melangsungkan perkahwinan cuba mendapatkan khidmat kumpulan berkenaan.

Pakej perkahwinan ditawarkan kumpulan itu bermula pada kadar RM8,700 sehingga mencecah RM11,700.

Sementara itu, menurut ejen kumpulan itu pelanggan tidak perlu risau soal pendaftaran kerana ia diuruskan oleh pihaknya tanpa perlu hadir ke mahkamah.

“Kami mempunyai ‘orang dalam’ baik di pejabat agama Islam ataupun mahkamah.

“Pasangan tak perlu untuk turut naik mahkamah, semuanya kami uruskan dan mereka hanya menerima dokumen selepas semuanya selesai,” katanya lagi.- Malaysiapost