BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku isu rasuah dan penyelewengan berhubung perolehan berkaitan Covid-19.
Dr Adham yang memegang jawatan tersebut ketika wabak itu mula melanda negara, berkata beliau pernah menerima aduan mengenai perkara berkenaan sekali gus menjelaskan perkara itu berlaku di peringkat pentadbiran.
Menurutnya, sewaktu keadaan pandemik banyak proses pemerolehan tidak melalui prosedur biasa dan terdapat kekeliruan dalam melaksanakan perkara itu.
“Kita gunakan perolehan kecemasan jadi keperluan mendesak banyak benda yang dilakukan nak cepat ada yang terpaksa pesan dahulu dan ada juga yang perlukan deposit, ini semua tak melalui proses-proses seperti biasa, ada perkara-perkara yang saya sedar dan saya sebagai menteri pada ketika itu menasihati mereka.
“Saya sebagai menteri saya menjaga dasar dan pelaksanaan dilakukan oleh pihak pentadbiran, saya menyenaraikan semua keperluan pelaksanakan oleh mereka, saya bersedia untuk beri kerjasama kepada SPRM tidak ada keraguan kerana ini penggunaan kecemasan pertama kali,” katanya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap perolehan berkaitan Covid-19 melibatkan rasuah dan penyelewengan selain turut melihat kepada penyalahgunaan kuasa. – Malaysiapost

