KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tetap mempertahankan kenyataannya terhadap Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung isu penjualan ekuiti Tabung Haji (TH) tiga tahu lalu, bukan berunsur fitnah.
Beliau berkata, kenyataan menerusi hantaran di Facebook itu hanyalah meminta penjelasan Mujahid sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung isu terbabit.
“Ramai rupanya di kalangan penyokong PH (Pakatan Harapan) yang ambil kesempatan menuduh kononnya saya memfitnah. Ada yang tanya kenapa tak lawan terus di mahkamah.
“Posting terdahulu ‘TABUNG HAJI JUAL RM2.6b EKUITI: YB MUJAHID HARUS SEGERA BERI PENJELASAN’ bukan fitnah tetapi menuntut penjelasan. Kami berdua setuju selesaikan di luar mahkamah,” katanya di Facebook, hari ini.
Semalam, kes saman fitnah Mujahid dan Asyraf Wajdi berhubung isu Tabung Haji tiga tahun lalu, telah diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.
Ia selepas Asyraf Wajdi menarik balik dan memadamkan kenyataan yang dibuat menerusi akaun Facebooknya pada 30 September 2019.
“Kami semalam sama-sama sepakat untuk selesaikan di luar mahkamah kerana kes ini dah berlarutan hampir tiga tahun kerana proses mahkamah yang panjang.
“Atas semangat perdamaian di bulan Syawal, kami mencapai kesepakatan untuk tidak memanjangkan isu ini di mahkamah,” katanya.
Asyraf Wajdi menjelaskan, tiada sebarang tuntutan permohonan maaf dan bayaran pampasan berkaitan penarikan saman berkenaan.
“Kami juga sama-sama sepakat bahawa tidak timbul isu fitnah, maka tidak perlu lagi untuk meneruskan sebarang tuntutan permohonan maaf ataupun pampasan berupa gantirugi ataupun kos.
“Apa yang dipersetujui cuma padamkan kenyataan asal kerana isu mendesak penjelasan Menteri berkenaan penjualan saham TNB sudah selesai apabila Menteri menjawabnya.
“Lagipun RCI (Siasatan Suruhanjaya Diraja) juga sedang dan masih berjalan untuk menyiasat isu-isu yang melingkari TH selama ini.
“RCI sebagaimana yang dituntut oleh Pemuda Umno mengenai TH mengenai pelbagai isu juga sedang berjalan. Harap maklum,” katanya. – Malaysiapost

