Malaysia tubuh Pusat Revolusi Perindustrian Keempat

0
2

MALAYSIA menubuhkan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR) yang pertama di Asia Tenggara untuk memangkin pemulihan ekonomi pasca pandemik.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, C4IR merupakan sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum – WEF), untuk menyokong pencapaian wawasan menyeluruh negara di bawah Dasar 4IR yang dilancarkan pada 2021, serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. 

Menurut kenyataan itu, ia akan membantu mempercepatkan penggunaan teknologi yang akan menjamin pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan untuk Malaysia apabila ekonomi pulih daripada pandemik Covid-19. 

“Penubuhan pusat ini, juga yang pertama di Asia Tenggara, menunjukkan komitmen Kerajaan Malaysia ke arah mengutamakan teknologi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasca pandemik, serta menyokong aspirasinya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, C4IR akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global WEF untuk kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan faedah teknologi baru muncul dan inovatif.

“Melalui rangkaian pusat sedia adanya di serata dunia, C4IR merintis model tangkas dan berpaksikan kemanusiaan dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar yang berfokuskan teknologi.   

“C4IR akan ditubuhkan secara rasmi dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada separuh kedua 2022.

“Manakala penubuhan C4IR diumumkan bagi pihak Kerajaan Malaysia oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz,  sempena Mesyuarat Forum Ekonomi Dunia yang diadakan pada 23 hingga 26 Mei 2022,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia sedang mempercepatkan transformasi digitalnya, dan keupayaan  untuk memanfaatkan teknologi 4IR seperti kecerdasan buatan, nanoteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan pengkomputeran kuantum.

“Yang akan menjadi salah satu pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif dalam beberapa dekad akan datang.

“Sehubungan itu, penubuhan C4IR memastikan teknologi pilihan Malaysia mampu menghasilkan manfaat yang bermakna kepada manusia sejagat dalam interaksi teknologi tersebut merentasi alam fizikal, digital dan biologi.

“Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan C4IR sebagai platform untuk pemindahan teknologi dan bagi membangunkan kapasiti tempatan secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here