Saya telah nasihat, apakan daya Allah mahu uji saya – Ridhuan Tee 

0
2

PENCERAMAH bebas, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengakui telah memberi nasihat sewajarnya kepada anaknya, Syafi Tee agar pandai membawa diri dalam dunia seni. 

Dr Ridhuan berkata, anak keduanya itu memang lebih meminati bidang seni dan sebagai bapa dia sudah memberikan nasihat sepatutnya.  

“Sebagai bapa saya telah menasihatinya tentang dunia seni, yang telah saya ceburi sejak memeluk Islam lebih 30 tahun. Cuma bezanya seni saya adalah seni artis ilmuan, manakala anak memilih seni artis hiburan. 

“Saya tidak melarang, cuma mengingatkan agar pandai membawa diri. Pastikan bidang seni hiburan boleh membawa kita ke syurga. 

“Pastikan seni dapat mendidik anak bangsa. Titipan demi titipan. Namun apakan daya Allah mahu menguji hamba-Nya yang kerdil ini,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini.  

Beliau berkata demikian dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dan membentang kertas kerja mengenai bahasa Melayu. 

Selepas lima hari berdiam diri, Dr Ridhuan yang juga ahli akademik tampil mengulas isu kontroversi membabitkan anak lelakinya yang didakwa bercium dengan seorang wanita. 

Mengulas lanjut, Dr Ridhuan berkata, apa yang berlaku adalah ujian Allah dan pada masa sama akan mematangkan individu yang sedang diuji. 

“Benar sekali, iman tidak dapat diwarisi. Tidak dapat dijual beli. Semoga semua ini tidak terjadi kepada kalian semua. 

“Ya, saya akui saya ada kelemahan. Saya tidak sempurna. Sedangkan Nabi Nuh pun tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya, inilah pula diri saya, hamba Allah yang hina-dina ini,” katanya. 

Dr Ridhuan menegaskan, dia sudah cuba melakukan apa yang terbaik untuk mengelak sebaran kejadian tidak diingini membabitkan semua enam anaknya dan juga saudara-maranya. 

“Selebihnya saya berserah, saya pasrah. Saudaraku, pastikan apa yang menimpa kepada diri saya, tidak berlaku kepada saudaraku semua,” katanya.  

Minggu lalu, tular klip video memaparkan seorang lelaki yang didakwa sebagai Syafi bercium dengan kekasihnya telah mengundang kecaman netizen. 

Syafi juga mencetuskan kontroversi pada tahun lalu apabila memuat naik video dia berpelukan dengan seorang wanita menjadi tular. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here