Lelaki trauma punggung digigit ular sawa ketika buang air besar

0
2

SIAPA sangka bilik ‘temenung’ yang selama ini tenang, tiba-tiba diceroboh oleh makhluk yang tidak diundang dan meninggalkan kesan trauma berpanjangan.

Kisah ini terjadi kepada Sabri Tazali apabila digigit ular sawa ketika sedang membuang air besar di kediamannya di Selayang, Selangor, pada 28 Mac lalu.

Kisah pemuda berusia 28 tahun itu tular di laman Twitter apabila dia berkongsi pengalamannya berhadapan detik getir yang kemudiannya menyebabkan serpihan gigi ular itu dijumpai di kawasan gigitan.

Sabri Tazali apabila digigit ular sawa ketika sedang membuang air besar di kediamannya di Selayang, Selangor, pada 28 Mac lalu.

“Selepas dua minggu, saya periksa kawasan luka, masih ada separuh gigi ular, ia terpatah mungkin sebab saya sentap ular dengan kuat. Sejujurnya memang trauma dengan kejadian itu.

“Dua minggu saya buang air besar di masjid belakang rumah. Lepas tu terpaksa tukar pintu tandas. Mangkuk tandas lama yang berwarna maroon juga sudah ditukar kepada yang putih,” katanya.

Memetik mStar, Sabri berkata, dia sempat melihat jenis ular yang mematuknya walaupun ketika itu berhadapan dalam situasi panik

“Saya sakit perut, ketika itu saya sedang buang air besar dalam tandas. Saya ni jenis main telefon, dekat 15 minit main game. Masa tu saya tengah duduk, tiba-tiba ada seekor ular terkam di bahagian punggung.

“Saya ingatkan biawak, sebab belakang rumah selalu ada biawak. Bila saya bangun, ular masih melekat di punggung. Saya terus tarik ular itu dan campak ke dinding. Tiba-tiba saya jadi panik nak buka pintu, saya tumbuk pintu sampai pecah.

“Tapi sejujurnya tak rasa sakit. Saya cuma nak tahu ular jenis apa je. Bila dah Google baru saya tahu yang ia ular jenis tak bahaya. Cuma takut ia membelit. Nasib baik saya yang kena, risau kalau kejadian tu berlaku pada mak atau anak-anak saudara saya,” katanya.

Sabri menjelaskan, dia menghubungi Bomba untuk menangkap ular tersebut sebelum bergegas ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

“Selepas kejadian itu, saya terus cuci dan pakai kain pelikat ke hospital dengan isteri. Mujurlah hospital pun dekat dengan rumah. Mujur juga ular itu bukan jenis berbisa, tapi doktor tetap bagi suntikan kancing gigi kepada saya.

“Ayah saya kata dah 40 tahun lebih duduk di kawasan perumahan teres tu, kali pertama berlaku kejadian macam ni, Sekarang memang saya lebih hati-hati,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here