Polis tahan lelaki belasah warga emas di tengah jalan

0
1
pukul warga emas

SEORANG penunggang motosikal yang tular memukul lelaki warga emas di jalan berdekatan jejantas Padang Jawa di Shah Alam, hari ini ditahan polis bagi membantu siasatan.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan selepas mangsa berusia 61 tahun tampil membuat laporan, kira-kira pukul 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga pesara swasta memandu bersama isteri dan cucunya menuju ke Putrajaya pukul 12 tengah hari.

Katanya, ketika membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue, suspek yang menunggang Yamaha Y15 dipercayai menjerit dan memarahi mangsa.

“Mangsa kemudian berhenti untuk memeriksa sekiranya ada perlanggaran, namun suspek terus menendang dada kirinya.

“Suspek kemudian duduk atas badan mangsa dan menumbuk muka dan kepala bertubi-tubi hingga menyebabkan bengkak bawah mata serta kepala selain sakit di rusuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

“Penunggang motosikal itu akan direman esok bagi membantu siasatan.

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Syuhada Aziz di talian 018-9124770,” katanya.

Tular di media sosial rakaman seorang lelaki memukul seorang warga emas sehingga terbaring di atas jalan.

Menerusi video berdurasi 21 saat itu, memaparkan lelaki terbabit yang memakai topi keledar sedang menumbuk berkali-kali di muka warga emas itu.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian segera meleraikan tindakan lelaki tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here