Cuepacs salah faham isu etika pakaian – Koo Ham

0
2

AHLI Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham mendakwa Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat salah faham dengan kenyataannya berhubung etika berpakaian di jabatan kerajaan.

Beliau yang juga Jurucakap Ahli-ahli Parlimen DAP mengenai Undang-undang dan Parlimen, menegaskan tidak pernah mengatakan menyokong orang ramai supaya tidak berpakaian sopan apabila pergi ke jabatan kerajaan.

Menurutnya, secara umumnya semua berpakaian sopan apabila bertemu pegawai-pegawai kerajaan dan isu yang beliau utarakan ialah penafian perkhidmatan kepada orang ramai susulan tidak mematuhi kod pakaian ditetapkan jabatan kerajaan.

“Saya telah menerima satu aduan daripada seorang peguam wanita yang pakaiannya boleh diterima di mahkamah tetapi dinafikan hak untuk masuk ke jabatan pendidikan atas alasan skirt dipakai hanya sampai ke paras lutut tidak boleh diterima.

“Seorang pemberita wanita sebuah televisyen tempatan telah mengadu kepada saya bahawa beliau tidak dibenarkan masuk ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaharui cukai jalannya kerana beliau memakai kemeja-T dan skirt paras lutut.

“Seorang lelaki tua terpaksa pulang ke rumah sejauh 15 kilometer untuk menukar seluar pendeknya kepada seluar panjang sebelum dia dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan tempatan untuk membuat bayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Koo Ham berkata, kes-kes berkenaan dibawa kepada perhatiannya dan beliau percaya terdapat banyak lagi kes-kes sedemikian di seluruh negara.

“Presiden Cuepacs jelas tidak memahami masalah yang timbul apabila berkata penjawat awam akan menggunakan budi bicara untuk menilai keadaan sebelum menafikan perkhidmatan kepada mana-mana orang yang tidak mematuhi kod pakaian.

“Dalam semua kes-kes yang saya sebutkan, mereka diberhentikan di pondok pengawal dan tidak dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan. Bagaimana penjawat awam itu boleh membuat penilaian?” soalnya.

Menurutnya, lebih penting sebagai penjawat awam, pegawai-pegawai kerajaan haruslah menjadi teladan dalam mematuhi dan menghormati undang-undang.

“Seperti yang dijelaskan dalam kenyataan media saya sebelum ini, menteri kabinet dan penjawat awam memperoleh kuasa mereka daripada undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.

“Tiada undang-undang yang memberi kuasa kepada pegawai kerajaan untuk menetapkan syarat bahawa seseorang itu perlu mematuhi kod pakaian sebelum perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka.

“Kod pakaian boleh diberikan sebagai satu nasihat tetapi tidak sebagai satu peraturan,” katanya.

Terdahulu Adnan dalam satu kenyataan semalam menyifatkan pendapat Koo Ham berhubung etika pemakaian di pejabat kerajaan adalah bersifat dangkal dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Cuepacs mengambil perhatian serius mengenai kenyataan dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Beruas itu.

Beliau berpendapat, sebagai seorang wakil rakyat, Koo Ham sewajarnya bersama-sama dengan perkhidmatan awam menasihatkan orang ramai untuk lebih bersopan dalam etika berpakaian bagi menjaga keharmonian semua pihak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here