SETIAUSAHA Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong, berkata prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam kali ini adalah pencapaian paling buruk negara dalam temasya dwi tahunan itu dalam tempoh 40 tahun.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, mendakwa pencapaian buruk berkenaan adalah susulan daripada tindakan pemotongan mendadak bajet sukan.
Menurutnya, berbanding kekecewaan diluahkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung pencapaian kontinjen negara ketika ini, rakyat lebih kecewa dengan apa yang berlaku pada sukan negara.
“Kami kecewa, Menteri kecewa. Ini tiada beza dengan sikap menyalahkan atlet Malaysia seolah-olah mereka tak dapat tunjuk prestasi yang lebih baik.
“Nak prestasi macam mana? Bajet persiapan sukan kena potong hampir 80 peratus. 253 atlet kena tamatkan elaun. Yang masih dapat elaun ada yang sampai kena potong 60 peratus elaun mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Steven Sim berkata, pihaknya sudah memberi amaran sejak November 2021 bahawa sektor sukan negara tahun ini akan merundum sebab kegagalan kepimpinan Menteri dan pemotongan mendadak bajet sukan.
“Kini terbukti kita mendapat pencapaian paling buruk di Sukan SEA dalam 40 tahun.
“Ramai dah bagi warning, Menteri buat tak tau. Sekarang dah teruk, dia buat kecewa. Menteri yang amat mengecewakan,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan Ahmad Faizal berasa kecewa kerana kontinjen negara tidak berada pada kedudukan lebih tinggi berbanding di tempat keenam pungutan pingat keseluruhan Sukan SEA Hanoi.
Kedudukan itu menarik perhatiannya agar diteliti dari pelbagai sudut dan semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), atlet dan persatuan sukan perlu mencari jalan supaya kedudukan dapat diperbaiki pada temasya akan datang. – Malaysiapost

