PELAKON Aeril Zafrel tampil menjelaskan mengenai pertanyaannya kepada penceramah bebas, Datuk Kazim Elias di Facebook yang mencetuskan kecaman hebat netizen.
Menerusi hantaran di Facebook, Aeril berkata dia mengajukan pertanyaan kepada Kazim selepas pemerhatiannya mengenai penyakit kulit dihadapi pendakwah itu seakan-akan solekan khas.
“Tadi ada tanya Datuk Ustaz Mohd Kazil Elias sebab tangan dia itu. Iya, saya tahu ustaz tengah sakit kena buatan orang sekarang ini.
“Tapi gambar yang ustaz upload berdasarkan pemerhatian saya nampak macam makeup effect.
“Pertanyaan saya pun berdasarkan gambar yang ustaz muat naik, bukan menidakkan ustaz sakit selama ini,” tulisnya dalam hantaran itu.
Aeril yang juga suami kepada pelakon Wawa Zainal berkata sikap netizen yang terburu-buru mengecam pertanyaannya, sebelum mengetahui perkara sebenar.
“Tapi, itulah. Orang kita ini pun, saya tanya saja, dah berbakul kena maki,” tulisnya.
Terdahulu, Kazim merayu kepada pihak yang mempunyai kepakaran membantu merawat penyakit kulit pada tangannya.
Beliau menerusi hantaran di laman Facebook turut memuat naik sekeping gambar keadaan kulit tangannya yang ditumbuhi biji-biji hitam serta menggerutu.
Pendakwah itu juga berkata telah mencuba pelbagai jenis rawatan dan cuba menyembunyikan hal itu namun sudah tidak tahan untuk menanggung derita. – Malaysiapost

