Tindakan BNM tak tambat ringgit tepat – Pemuda Amanah 

0
1

PEMUDA Amanah Nasional berkata tindakan Bank Negara Malaysia tidak menambat Ringgit Malaysia (RM) adalah bersesuaian dan tepat dengan senario kewangan semasa negara. 

Pengarah Biro Ekonominya, Ammar Atan, berkata cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menambat Ringgit adalah regresif. 

“Terdapat beberapa kerisauan beliau bahawa kedudukan Ringgit yang rendah menyebabkan aliran keluar pelaburan asing dan menyebabkan kos import mahal seterusnya kenaikan inflasi mendadak.  

“Kerisauan ini bukanlah tidak berasas, tetapi cadangan Tun Mahathir akan menyebabkan lebih banyak kesan negatif berbanding positif,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ammar berkata, senario kewangan semasa negara sangat berbeza jika dibanding 25 tahun lalu, sewaktu negara menghadapi krisis kewangan Asia 1997-1998.  

Katanya, apabila ringgit ditambat pada krisis kewangan Asia 1997-1998, ketika itu kedudukan Ringgit jatuh mendadak dalam masa singkat dari RM2.40 ke RM4.90 berbanding USD1 disebabkan serangan spekulatif.  

“Ketika itu juga, hanya beberapa matawang dunia sahaja terkesan, khususnya Asia dan ia bukanlah senario global seperti hari ini,” katanya. 

“Pada tahun 1997-1998, memandangkan kemerosotan matawang adalah ‘unik’ iaitu melibatkan beberapa negara sahaja, dasar tambatan ringgit masih boleh diterima.  

“Namun, jika dilakukan hari ini, Malaysia akan dilihat sebagai negara yang tidak menghormati semangat pasaran, pada ketika negara-negara lain tidak memikirkan soal tambatan matawang.  

“Jika BNM menguruskan ringgit secara aktif menerusi tambatan, ini akan merosakkan reputasi Malaysia,” katanya lagi. 

Sementara itu, beliau berkata kedudukan Ringgit yang lemah tidak semestinya sesuatu yang buruk, kerana ia akan menjadikan negara lebih berdaya saing dan menggalakkan eksport negara. 

Tambah beliau, selain itu kira-kira 36 peratus daripada pekerja Malaysia dan lebih kurang 42 peratus daripada pendapatan buruh di Malaysia adalah daripada sektor berorientasikan eksport.  

“Secara amnya, ringgit yang lebih rendah menjadikan eksport kita lebih berdaya saing kerana keadaan itu menjadikannya lebih murah,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata kerisauan Dr Mahathir adalah penting untuk kerajaan bertindak memastikan kedudukan ekonomi dapat diselamatkan daripada krisis global yang sedang berlaku kini. 

Menurutnya, ini kerana sehingga hari ini, tiada satu pun tindakan proaktif yang diambil kerajaan dalam berhadapan kedudukan Ringgit yang rendah, selain  pemansuhan permit import (AP) bagi bahan makanan. 

Justeru, Ammar berkata waktu ini adalah terbaik untuk kerajaan berkempen ‘to buy local’ untuk mengurangkan kebergantungan barangan import. 

Selain itu, katanya kerajaan perlu menggandakan hasil pengeluaran tempatan untuk penggantian bahan import, kegunaan tempatan serta eksport 

“Inflasi yang mendadak meningkat susulan Ringgit yang rendah perlu disusuli dengan dasar seperti pengurangan cukai perniagaan, melaksanakan harga siling, menyuntik subsidi bagi mengurangkan kos akhir kepada pengguna,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here